fbpx

Tunggu siasatan, saya masih belum bayar saman – Awie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DATUK AWIE

PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon, Datuk Awie terkilan apabila dikatakan sudah menjelaskan saman berkaitan dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pada majlis amal baru-baru ini, sekali gus memberi tanggapan negatif masyarakat.

Katanya, dia juga orang biasa yang perlu menunggu perkembangan siasatan dan tidak mungkin keputusan kes berkenaan sudah diterima sedangkan keterangan kepada pihak polis hanya dibuat malam kelmarin.

“Saya tidak tahu dari mana datangnya sumber yang mendakwa saman sudah dilunaskan. Apabila hal tidak betul diwar-warkan tanpa mendapatkan komen saya, tentu saja semakin mengundang salah faham.

“Tolong jangan memandai-mandai. Saya sudah berikan kerjasama pun dengan bagi keterangan dalam sesi kira-kira dua jam. Segala permintaan pihak berkuasa sudah saya tunaikan. Saya pun orang biasa, kena ikut prosedur.

“Kena tunggu juga perkembangan lanjut. Kalau perlu ke mahkamah, saya akur. Saya cuma mampu berdoa semoga semuanya baik-baik saja. Ini dugaan kecil. Paling penting acara itu ikut SOP ketat sama ada daripada kami selaku penganjur dan hotel sendiri.

“Tetamu istimewa kami iaitu penarik beca yang dijemput juga memakai topeng muka, scan QR kod, ambil suhu dan jaga jarak. Namun video pendek yang diviralkan terus buat orang tuduh kami langgar SOP. Apa pun kerja amal tidak akan saya hentikan,” katanya kepada K! Online.

Terdahulu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman dikecam netizen selepas video berdurasi 40 saat pada majlis amal membabitkan penarik beca disebarkan di laman sosial hingga vokalis Wings itu dipanggil polis memberikan keterangan.

Mengenai penularan video berkenaan dan kecaman, Awie lebih selesa tidak buruk sangka terhadap warga maya sebaliknya yakin kebenaran akan terbukti.“Tidak mengapa (dikecam) sebab mereka disogokkan secebis saja klip daripada keseluruhan kejadian sebenar. Memang saya ada berdiri seketika. Ia disebabkan saya terharu melihat abang-abang penarik beca menyanyikan lagu saya.

“Ramai yang rata-rata pertama kali berjumpa saya malah ada yang mengakui baru merasa diraikan dalam majlis buka puasa di hotel. Sudah tentu saya sebak sampai tak sengaja berdiri.

“Tetapi lepas melihat ada yang nampak cuba mendekati, saya ada sebut ikut SOP, terus masing-masing jaga jarak semula. Bahagian itu tidak ditunjukkan pula. Saya pun tak salahkan mereka (penarik beca),” katanya lagi.

Awie yang sebelum ini aktif membantu golongan memerlukan bersama kelab peminatnya, Sayap Sayap Wings hanya mendoakan kesejahteraan semua pihak termasuk yang terus mengecamnya di laman maya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI