BARCELONA – Pelumba sensasi Mercedes, Lewis Hamilton mengakui bahawa dia dan pasukannya mempertaruhkan strategi terbaik sebelum berjaya menjuarai Grand Prix (GP) Sepanyol di Litar Catalunya kelmarin.
Kata Hamilton, perasaannya berbelah bahagi sama ada mahu mendengar arahan pasukan memasuki hentian pit atau meneruskan usaha memintas Max Verstappen yang pada ketika berjaya mendahului perlumbaan dengan kelebihan 20 saat.
“Saya hanya teruskan usaha memintas Verstappen yang berjaya mempamerkan pemanduan agresif seawal selekoh pertama sekali gus mendahului saingan untuk sebahagian besar perlumbaan.
“Namun, saya gembira apabila tempoh 20 saat kelebihan yang dimilikinya tidak bermakna apabila kami melakukan strategi untuk tidak masuk hentian pit kerana saya masih yakin mampu menggunakan tayar sedia ada sehingga tamat perlumbaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Hamilton turut memuji pemanduan yang dipamerkan oleh Verstappen yang cukup baik dalam memberi tentangan sengit buatnya sepanjang perlumbaan sebelum berjaya meraih gelaran GP ketiga musim ini.
“Verstappen telah memulakan perlumbaan dengan positif dan saya akui ia adalah kesilapan saya sendiri kerana memberinya ruang di awal saingan sebelum dipintas pada selekoh pertama. Namun, saya gunakan sepenuhnya pengalaman untuk memastikan kejayaan akhirnya dapat diraih,” katanya.
Hamilton yang telah bergelar juara dunia tujuh kali kekal gah di tangga teratas keseluruhan dengan mengumpul 94 mata selepas meraih tiga kemenangan daripada empat perlumbaan GP manakala Verstappen kekal di kedudukan kedua dengan 80 mata. – AGENSI