KEMAMAN – Mahu membeli makanan ikan peliharaan dan juadah berbuka puasa merupakan antara alasan diberikan 11 individu untuk merentas negeri ke daerah ini dengan menggunakan ‘laluan tikus’ dari Chendor, Kuantan, Pahang semalam.
Sebahagian mereka yang ditahan termasuk termasuk seorang pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNCHR) turut memberi alasan daerah ini yang bersebelahan dengan Kuantan masih dalam radius 10 kilometer dibenarkan walaupun berlainan negeri.
Mereka sanggup melalui laluan tikus tersebut yang sempit, berbatu selain tidak diturap bagi mengelak sekatan jalan raya (SJR) Paya Berenjut yang ditempatkan di pintu masuk sempadan Kemaman – Terengganu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kesemua individu berusia 18 hingga 46 tahun tersebut ditahan dalam operasi lebih satu jam di laluan tikus berkenaan yang terletak di sempadan Kemaman dan Chendor.
“Mereka yang ditahan kebanyakannya merupakan penduduk yang tinggal di sempadan Pahang-Terengganu dan tidak mempunyai sebarang surat kebenaran merentas negeri.
“Pelbagai alasan tidak munasabah diberikan untuk merentas negeri tanpa kebenaran itu termasuk membeli makanan ikan peliharaan,” katanya ketika melakukan pemantauan di SJR berkenaan di sini hari ini.
Hanyan berkata, kesemua 11 individu terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk diambil keterangan sebelum masing-masig dikompaun RM5,000. – K! ONLINE