fbpx

Polis tendang perut pengawal ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman televisyen litar tertutup menunjukkan suspek menendang pengawal keselamatan kerana dikatakan lambat membuka palang pintu.

PETALING JAYA – Tindakan seorang anggota polis berpangkat Koperal menendang perut pengawal keselamatan di pangsapuri Sri Manja Court, Taman Sri Manja, di sini membawa padah apabila dia ditahan, semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 12.45 tengah hari kelmarin, suspek yang berusia 30-an dikatakan bengang apabila pengawal berkenaan lambat membuka palang pintu memasuki apartment tersebut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, seorang pegawai kanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya membuat laporan berhubung perkara itu sekitar pukul 9 pagi pada hari yang sama.

“Laporan itu dibuat selepas pegawai berkenaan melihat satu rakaman video pergaduhan membabitkan seorang pengawal keselamatan dan anggota berkenaan yang bertugas di IPD Petaling Jaya tular di aplikasi WhasApp.

“Pertengkaran itu berpunca apabila mangsa yang juga pengawal keselamatan berusia 59 tahun lambat membuka palang pintu masuk kawasan kediaman berkenaan.

“Tindakan itu menyebabkan suspek (anggota polis) terpaksa memberhentikan kenderaan dan menunggu lama sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek mendakwa mangsa telah mengeluarkan perkataan kesat kepada suspek menyebabkannya tidak berpuas hati lalu menendang perut pengawal keselamatan itu.

“Suspek dikatakan turut mengugut mangsa kononnya mahu memukul pengawal keselamatan berkenaan menggunakan topi keledar miliknya.

“Mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya.

Katanya, polis memberkas anggota berkenaan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah serta mendatangkan kecederaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI