PARIS – Paris Saint-Germain mungkin akan memecat jurulatih mereka, Mauricio Pochettino pada musim panas nanti selepas enam bulan membimbing pasukan itu.
Bekas pemain Marseille dan Nancy, Tony Cascarino mengakui bekas pengurus Tottenham Hotspur itu berada dalam keadaan bahaya jika mereka terlepas kejuaraan Ligue 1 kepada Lille.
Pochettino dilantik mengisi kerusi jurulatih pasukan itu pada Januari lalu dan berjaya menghadiahkan mereka Piala Super Perancis, namun selepas itu perjalanan karier jurulatih dari Argentina itu kelihatan agak sulit.
Mereka gagal mengulangi pencapaian musim lalu mara ke final Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Manchester City di separuh akhir dan ketika ini berada di kedudukan kedua Ligue 1 selepas ketinggalan tiga mata di belakang Lille.
Mereka sepatutnya mampu menekan Lille, namun keputusan seri 1-1 menentang Stade Rennais awal pagi semalam membuatkan mereka makin tertekan terutama ketika Lille meraih tiga mata menudukkan Lens 3-0 kelmarin.
“Jika mereka tidak menang liga selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara dengan kekalahan 1-4 kepada City, ia satu kehinaan buat PSG dan mereka mungkin akan memecat Pochettino.
“Mereka akan lakukan seperti apa yang dilakukan oleh Roman Abramovich dan Chelsea buat. Anda mungkin ingat itu keputusan yang tidak masuk akal tetapi mereka akan lakukan.
“Pernah ada jurulatih PSG sebelum ini yang memenangi piala tetapi mereka tetap dipecat. Jadi, anda tidak perlu terkejut jika Pochettino juga dipecat terutama jika Lille memenangi liga.
“Kemenangan Lille di Ligue 1 lebih teruk daripada kejayaan Leicester memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL). Ia seperti Sunderland berjaya menewaskan Manchester City dalam persaingan merebut kejuaraan EPL,” katanya. – AGENSI