fbpx

PKP seluruh negara mulai 12 Mei ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Larangan lebih ketat melalui pelaksanaan PKP di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun depan.

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dengan me­nguatkuasakan larangan rentas daerah dan rentas negeri kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, janji temu vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

Keputusan terbaharu dengan larangan lebih tegas dan ketat itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Perdana Menteri berkata, tarikh kuat kuasa larangan rentas daerah dan negeri adalah seperti yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mei lalu ­iaitu mulai semalam hingga 6 Jun depan.

Beliau berkata, tarikh kuat kuasa bagi larangan-larangan dan arahan-arahan lain pula bermula pada Rabu ini hingga 7 Jun depan.

Menerusi pelaksanaan PKP ini, Muhyiddin berkata, semua bentuk perhimpunan sosial termasuk kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil, maj­lis makan malam, majlis sambutan hari jadi serta majlis-majlis rasmi kerajaan dan swasta adalah tidak dibenarkan.

“Sebarang bentuk seminar, persidangan dan mesyuarat secara bersemuka juga adalah tidak dibenarkan.

“Majlis akad nikah adalah dibenarkan dengan jumlah kehadiran dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri bagi orang Islam dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi orang bukan Islam,” ­katanya.

Muhyiddin menambah, semua aktiviti sukan dan rekreasi kecuali sukan dan rekreasi individu di kawasan terbuka seperti joging, berbasikal dan senaman dengan mengamalkan penjarakan fizikal adalah dilarang.

Beliau berkata, semua institusi pendidikan ditutup dengan pengecualian diberikan kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa sahaja.

“Pusat Asuhan Kanak-kanak, tabika, taska dan tadika dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan,” ujar beliau. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI