TUMPAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 merampas sebanyak 800 kilogram (kg) beras dan beras pulut seludup yang dipercayai untuk bekalan semasa Hari Raya Aidilfitri di kawasan pangkalan haram Kuala Tat di sini semalam.
Pegawai Pemerintah Medan PGA Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan bernilai RM4,400 itu dilakukan selepas memeriksa sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback yang diletakkan di kawasan itu pada pukul 7.45 malam.
Beliau berkata, anggota PGA melihat kereta berkenaan diparkir di kawasan itu dalam keadaan mencurigakan dengan pemandunya tidak ditemui ketika pihaknya melakukan rondaan rutin.
“Pemeriksaan lanjut di belakang kereta itu telah menjumpai bungkusan beras dan beras pulut masing-masing seberat 400 kg.
“Siasatan awal mendapati kesemua barangan itu dipercayai diseludup dari negara jiran menggunakan laluan tikus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azhari, pihaknya tidak menolak kemungkinan beras itu untuk dijual di pasaran tempatan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dan kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994. – K! ONLINE