KUALA LUMPUR – Ribuan penghuni di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang di sini terpaksa berebut dan bersesak-sesak untuk memasuki lif selepas dua daripada tiga kemudahan yang terdapat di blok berkenaan rosak sejak dua bulan lalu.
PA Desa Rejang mempunyai 12 blok setinggi 19 tingkat dan menempatkan lebih daripada 2,500 unit rumah.
Hasil tinjauan Kosmo! mendapati, hanya satu lif berfungsi bagi setiap satu blok berbanding tiga lif yang disediakan di setiap bangunan.
Ekoran masalah itu, penduduk terpaksa berebut dan menunggu masa yang lama untuk menggunakan lif sehingga menyebabkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) terutama dari segi penjarakan fizikal.
Menurut seorang penduduk orang kelainan upaya (OKU), Sampir Ahmad Hasim, 59, kesukaran menggunakan lif memang menjejaskan rutian hariannya sejak dua bulan lalu.
“Pada satu ketika, saya terpaksa menunggu selama dua jam untuk guna lif, saya OKU dan pergerakan pula terbatas.
“Sudah hampir dua bulan perkara ini berlarutan, dah banyak tempat kami buat aduan, namun masih tiada apa-apa tindakan yang diambil,” katanya ketika ditemui di PA Desa Rejang di Persiaran Rejang, Taman Setapak Jaya di sini baru-baru ini.
Sementara itu, pekerja swasta, Zairi Nuruddin, 49, khuatir isu kontrak pengurusan lif terbabit dimanipulasi pihak-pihak tertentu demi kepentingan sendiri.
“Kami difahamkan ada yang tidak kena pada kontrak pengurusan lif, ada pihak yang cuba mengaut keuntungan tanpa memikirkan nasib penduduk di sini.
“Saya harap pihak berwajib segera menyelesaikan isu ini dan tolong segera kami,” katanya.
Menurut Ismail Shaari, 60, pula, dia meminta pihak berwajib untuk turun padang dan mencari jalan penyelesaian terbaik. – K! ONLINE.