PUTRAJAYA – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara tentera regim Israel di Semenanjung Gaza hari ini yang telah mengakibatkan kematian dan kecederaan terhadap rakyat Palestin termasuk kanak-kanak.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, serangan kejam, melampau dan keterlaluan oleh Israel itu secara keseluruhan dan terang-terangan menyalahi undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata, Malaysia turut mengulangi rasa kesal dengan serangan ganas dan pencerobohan berterusan tentera regim Israel terhadap rakyat Palestin dan umat Islam yang sedang beribadat di Masjid Al-Aqsa sejak 7 Mei lalu.
“Malaysia juga kesal dengan tindakan pengusiran rakyat Palestin yang tinggal di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur.
“Pada hari-hari terakhir bulan suci Ramadan ini, serangan yang keji dan disasarkan terhadap saudara-saudara kita sesungguhnya amat biadab dan tidak menghormati bukan sahaja umat Islam di seluruh dunia tetapi umat manusia secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, Malaysia menuntut Israel untuk segera menghentikan kekejamannya terhadap rakyat Palestin di wilayah yang diduduki termasuk yang berada di Semenanjung Gaza.
“Kekerasan secara berterusan oleh Israel terhadap rakyat Palestin terutamanya pada bulan suci Ramadan tidak boleh diterima sama sekali dan regim itu wajib dipertanggungjawabkan,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, Masyarakat antabangsa tidak boleh menutup mata dan berdiam diri serta tidak menghiraukan kekejaman yang dilakukan oleh regim itu.
Oleh yang demikian, beliau berkata, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya bertindak tegas dan mendesak Israel untuk menghentikan segera kezaliman terbaharu terhadap rakyat Palestin.
“Masyarakat antarabangsa juga perlu bersama-sama menggembleng usaha bagi melindungi rakyat Palestin daripada tindakan ganas Israel.
“Dalam waktu-waktu sukar ini, Malaysia akan sentiasa memberi sokongan padu dan mengukuhkan solidariti dengan rakyat Palestin,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Malaysia turut mengulangi pendirian menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin. -K! ONLINE