KLANG – Berpantang maut sebelum ajal apabila seorang lelaki terselamat apabila kenderaan dipandunya remuk terhimpit antara dua treler dalam kejadian di Jambatan Muhibbah, di sini petang tadi.
Dalam kejadian pukul 6 petang, Abdul Samad Hamid,57, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Toyota Altis dipandu mangsa berada di lorong kanan di jambatan tersebut.
Katanya, turut berada di lorong tersebut adalah sebuah treler dipandu lelaki berusia 36 tahun yang berada di hadapan kereta mangsa.
“Kedua-dua kenderaan itu telah berhenti kerana jalan sesak sebelum sebuah treler dari arah belakang tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang Toyota Altis tersebut.
“Pelanggaran itu menyebabkan Toyota Altis itu menggelongsor ke hadapan dan melanggar bahagian belakang treler di hadapannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Shamsul Amar menjelaskan ketiga-ketiga pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 17 saat yang diambil pengguna jalan raya lain memaparkan kejadian tersebut. – K!ONLINE