PETALING JAYA – Polis merampas sepucuk pistol tiruan daripada seorang lelaki selepas suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan pangsapuri kos rendah di Jalan Seri Sentosa, Kuala Lumpur hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, rampasan dilakukan sepasukan polis dari Balai Polis Petaling ketika membuat rondaan di kawasan berkenaan sekitar pukul 2.40 pagi.
“Ketika rondaan, polis telah ternampak sebuah kereta jenis Perodua Axia dalam keadaan yang mencurigakan lalu mendekati kenderaan tersebut.
“Hasil pemeriksaan ke dalam kenderaan yang dinaiki suspek itu telah menjumpai pelbagai barangan mencurigakan termasuk sepucuk pistol tiruan yang disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, khuatir dengan penemuan itu, polis menahan suspek yang merupakan warga tempatan berumur 52 tahun.
“Beberapa barangan lain turut dirampas, antaranya satu butir menyerupai peluru (diletakkan di dalam pistol), kasut, topi, beg silang, sehelai jaket berwarna hitam bertulis Resort World Genting dan kad penama bertulis Asisten Superintendan (ASP) Ng Thean Leng.
“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau dan suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat ini,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki sepucuk pistol tiruan dan barangan yang disyaki digunakan untuk tujuan melakukan jenayah. – K! ONLINE