TIDAK dapat dinafikan, Aidilfitri merupakan satu perayaan terbesar di negara ini yang dirayakan dengan penuh kesyukuran, pengampunan dan penuh silaturahim.
Memasuki tahun kedua diraikan dalam suasana norma baharu, TikTok Malaysia membawakan projek lagu raya istimewa berjudul Kecoh Raya bagi mengembalikan kenangan manis semangat raya yang penuh keriuhan.
Dibarisi artis tempatan yang menyuntik kekuatan, Kecoh Raya sudah dilancarkan menerusi semua platform penstriman digital pada 7 Mei lalu.
Menurut Pengurus Pemasaran Kanan Wilayah SEA TikTok, Loh Kai Zhi, pengalaman menyambut lebaran dan musim perayaan utama lain di negara ini telah berkembang secara digital sepanjang tahun lalu
“Media sosial membantu dan memastikan setiap daripada kita kekal berhubung menerusi perayaan digital.
“Selain menghubungkan orang untuk pengalaman interaktif, TikTok juga memainkan peranan penting dalam memastikan orang ramai tetap terhibur dan terdidik.
“Untuk terus memanfaatkan potensi dan kekuatan platform TikTok, kami menjalin kerjasama dengan syarikat Universal Music Malaysia dan RocketFuel Entertainment Sdn. Bhd. sempena Raya 2021 menerusi #KecohRayaTikTok,” katanya.
Elemen positif
Kecoh Raya menampilkan lapan orang selebriti terdiri daripada pelakon dan penyanyi Alvin Chong, Diana Danielle dan Kowachee daripada Universal Music, Usop dan Ara Johari (Rocketfuel Entertainment), Danial dan Zahier (Era FM) dan Izzryn daripada TikTok.
Kesemua artis dilihat memberikan sepenuh kerjasama dalam pembikinan video muzik yang kini boleh ditonton menerusi YouTube TikTok dan Universal Music Malaysia. Lagu berkenaan turut dimainkan di corong radio Era FM.
“Kecoh Raya sangat sesuai untuk platform TikTok kerana disulami semangat dan bernuansa segar. Kebanyakan lagu raya sedia ada lebih melankolik dan bercerita tentang bagaimana mereka tidak dapat bersama ahli keluarga bagi menyambut lebaran.
“Berbeza dengan Kecoh Raya, lagu ini menampilkan suasana raya yang ceria sekali gus menyuntik elemen positif serta kegembiraan kepada pendengar. Saya harap anda semua terhibur menikmatinya!” kata Alvin, 30.
Sementara itu bagi Kowachee pula, dia menyifatkan lagu berkenaan memberi ruang dan pengalaman baharu buat dirinya.
“Bukan sekadar menyanyi dan rap, tetapi pengalaman menjalani penggambaran video muzik juga menyeronokkan sebab ada ramai rakan artis yang terlibat.
“Lagu ini membawa getaran berbeza yang jarang berlaku. Menariknya, saya perlu menari sewaktu penggambaran video muzik dilakukan. Cukup mengujakan dan saya berasa bersyukur kerana berpeluang bekerja dengan semua artis lain,” katanya teruja.
Malah tambah penyampai radio Era FM, Danial pula, projek tersebut diibaratkannya sebagai hembusan nafas segar untuk karya lagu raya moden.
“Liriknya cukup mudah diingati pendengar. Seronok bekerja dengan semua orang kerana kami bebas bertukar pendapat dan sudut pandangan yang positif,” celahnya.
Sementara Zahier pula menyatakan harapan agar pendengar dapat menikmati keseronokan sewaktu mendengarkan lagu Kecoh Raya.
“Mari kita tinggalkan semua kesedihan dan hiduplah pada saat ini bersama-sama,” katanya.
Bagi menambah keseronokan, TikTok turut mengadakan cabaran #KecohRayaTikTok berlangsung dari 7 hingga 23 Mei bagi mendorong pendengar bersama-sama menyanyikan lagu tersebut.
Penyertaan video raya yang dihasilkan paling kreatif dan kecoh berpeluang membawa pulang hadiah iPhone 12 dan baucar bernilai RM500. Hadiah lain yang ditawarkan termasuklah Apple Watch, Apple AirPods dan baucar raya eksklusif.