PETALING JAYA – Keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara bagi tempoh suku pertama tahun ini menyusut secara marginal sebanyak 0.5 peratus untuk meneruskan pemulihan berbanding -3.4 peratus pada suku keempat 2020.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi ekonomi disokong oleh pengukuhan dalam sektor pembuatan dan pemulihan sektor pertanian.
“Berdasarkan prestasi KDNK bulanan, Januari dan Februari masing-masing mencatatkan penurunan 3.5 peratus dan 3.6 peratus sebelum berjaya mencapai pengukuhan pada Mac 2021 kepada 6.0 peratus selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan.
“Pemulihan ekonomi turut didorong oleh peningkatan perbelanjaan bolehguna rakyat kesan pengeluaran i-Sinar, i-Lestari dan peningkatan harga komoditi kelapa sawit serta getah,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan secara maya pagi tadi. – K! Online