GEORGE TOWN – Penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19 di hospital awam di negeri ini telah mencapai 100 peratus.
Kadar penggunaan fasiliti perubatan secara keseluruhannya juga dilaporkan telah melebihi 70 peratus bagi katil Covid-19 bukan ICU setakat semalam.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sepanjang minggu ke-18 iaitu di antara 2 Mei hingga 8 Mei lalu, sejumlah 1,682 kes positif Covid-19 telah dilaporkan di negeri ini.
Malah ujarnya, Jabatan Kesihatan negeri turut memaklumkan jumlah kes aktif di negeri ini telah mencecah lebih 1,000 kes, sekali gus memerlukan pemantauan serta pengurusan aktif daripada pihak hospital dan pejabat kesihatan daerah.
“Keadaan ini adalah membimbangkan dan kita tidak mahu situasi sebagaimana di India berlaku di negara kita.
“Berlandaskan itu, JKNPP akan meneruskan aktiviti penyiasatan pengesanan kes dan kontak serta ujian saringan di semua fasiliti terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyeru individu-individu yang bergejala mendapatkan rawatan atau menjalankan saringan pada kadar segera. – K! ONLINE