fbpx

Jual barang tiruan bernilai RM70,600 online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguatkuasa KPDNHEP Temerloh melakukan pemeriksaan beg tangan tiruan di sebuah rumah di Kemayan, Bera semalam.

TEMERLOH – Taktik tiga individu menyembunyikan barang tiruan berjenama antarabangsa di kediaman mereka dan menjualnya secara online gagal mengaburi pihak berkuasa yang berjaya mengesan dan merampas pelbagai barangan seperti beg tangan, dompet dan topi bernilai RM70,600.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Temerloh, Abdul Razak Yahaya berkata,  serbuan di tiga unit rumah di Taman Jaya, Kemayan di sini semalam itu menemukan 706 unit barangan tiruan jenama antarabangsa.

“Dalam serbuan itu pemilik bagi setiap premis ditahan bagi siasatan lanjut yang mana ketiga-tiga individu berumur 30 hingga 40 tahun itu mengakui sebagai pemilik premis tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurut Abdul Razak operasi yang dilakukan itu adalah hasil aduan dan risikan pihaknya selama seminggu melibatkan 13 pegawai penguatkuasa KPDNHEP dan tiga wakil pemilik cap dagang.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 kerana disyaki melakukan kesalahan menjual atau menawarkan untuk menjual apa-apa barangan yang cap dagangan dipakaikan dengan salah.

Katanya, modus operandi dalam kes itu ialah dengan membuat belian barangan tiruan berjenama terkenal daripada luar negara seterusnya menjual secara dalam talian dan langsung dengan harga RM250 hingga RM300.

Dalam pada itu Abdul Razak berkata, KPDNHEP cawangan Temerloh memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga supaya tidak melakukan aktiviti menyalahi undang-undang seumpama itu.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan ini dan mereka bakal berdepan hukuman berat serta denda yang tinggi,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI