GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang tampil memohon maaf selepas dekorasi replika lembu yang memakai kain samping dan songkok di Bulatan Jalan Air Itam di sini menimbulkan kemarahan sesetengah pihak.
Joseph berkata, pihaknya tidak berniat untuk mengguris sensitiviti mana-mana pihak terutamanya dalam mengekalkan keharmonian yang sedia terjalin di antara pelbagai kaum di Pulau Pinang.
“Berkaitan kontroversi yang tular di media sosial berhubung hiasan di Bulatan Jalan Air Itam semalam, pihak kami ingin memohon maaf atas kekhilafan yang dicetuskan.
“Sebagai tindakan lanjut, pihak kami telah menurunkan hiasan tersebut dengan kadar segera semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, tular di media sosial mengenai dekorasi Hari Raya Aidilfitri di Bulatan Jalan Air Itam itu yang memaparkan seekor lembu yang memakai sampin serta songkok.
Dekorasi berkenaan menimbulkan kemarahan segelintir warga maya dan orang ramai yang melalui kawasan berkenaan sambil menyifatkan hiasan tersebut menghina umat Islam.
Menurut Joseph, umumnya setiap kali musim perayaan, pihaknya akan meletakkan perhiasan mengikut tema perayaan di lokasi berkenaan.
“Namun, kelalaian yang dibuat tanpa sebarang niat buruk berhubung hiasan sempena sambutan Syawal telah menyentuh sensitiviti rakan-rakan Muslim di sini.
“Dengan ini, sekali lagi saya ingin memohon maaf dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kejadian yang berlaku,” katanya.