fbpx

Harga bekalan daging lembu mahal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Walaupun sekadar memperolehi keuntungan serendah RM2, peniaga di Pasar Chabang Tiga di sini akur dengan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri yang telah menetapkan harga siling daging lembu pada RM34 sekilogram.

Tinjauan Kosmo! di pasar tersebut mendapati rata-rata peniaga menjual daging lembu pada harga antara RM32 hingga RM34 sekilogram.

Seorang peniaga, Abdullah Omar, 41, berkata, dia mendapatkan bekalan daging lembu segar daripada pemborong pada harga RM30 sekilogram.

“Walaupun margin keuntungan tidak begitu besar seperti dahulu, saya bersyukur masih memperolehi keuntungan daripada jualan daging lembu.

“Apatah lagi, jualan daging lembu meningkat pada hujung minggu lalu apabila saya boleh menjual dua ekor lembu sehari,” katanya ketika ditemui di Pasar Chabang Tiga di sini semalam.

Seorang lagi peniaga yang ha­nya mahu dikenali sebagai Azman, 36, pula risau momentum penjualan daging lembu terencat ekoran larangan rentas daerah yang berkuat kuasa kelmarin.

“Dengan arahan rentas daerah dan negeri yang tidak dibenarkan mungkin boleh menyebabkan permintaan daging lembu merosot kerana tidak banyak lagi juadah yang perlu disediakan,” katanya.

Di Kelantan, harga daging lembu tempatan di kebanyakan tempat di sini juga masih dijual pada harga antara RM32 hingga RM34 sekilogram.

Tinjauan di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu mendapati, rata-rata peniaga masih menjual da­ging lembu tempatan pada harga tersebut, manakala tulang lembu pula RM27 sekilogram.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Lan, 32, berkata, dia menjual daging mengikut harga kawalan yang ditetapkan.

“Saya dan peniaga lain masih menjual daging lembu tempatan pada harga seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Memang untung kami hanya RM2 sekilogram, saya mengambil bekalan daging tempatan itu pada harga RM30 sekilo­gram dan dijual antara RM32 hingga RM34 sekilogram,” katanya.

Menurutnya, peniaga di Pasar Siti Khadijah tidak berani meletakkan harga barangan sesuka hati kerana pihak KPDNHEP sentiasa membuat pemantauan.

Di Pulau Pinang, kebimba­ngan yang dihadapi oleh peniaga daging di negeri ini adalah berke­naan dengan stok bahan mentah itu yang semakin sukar untuk diperolehi.

Seorang penjual daging, Mohd. Farid Ismail, 40, berkata, masalah utama yang dihadapi mereka ketika ini bukan dari segi penetapan harga, sebaliknya melibatkan stok atau bekalan daging berkenaan di pasaran.

“Permintaan terhadap daging tinggi, tapi stok masih kurang. Sebenarnya saya berdepan de­ngan masalah ini sejak permulaan puasa lagi dan sudah menjangkakan bahawa masalah ini akan timbul juga sebelum hari raya,” katanya.

Sementara itu, harga daging lembu tempatan yang dijual di beberapa pasar di Pulau Pinang masih lagi kekal dengan harga yang ditetapkan pihak kerajaan. Seorang peniaga di Pasar Awam

Seberang Jaya di sini yang ha­nya ingin dikenali sebagai Husin berkata, sepatutnya harga perlu dinaikkan sedikit, bukan untuk ‘menekan’ pelanggan, sebaliknya untuk menampung modal yang sudah dikeluarkan peniaga.

“Kami tidak mempunyai pilihan dan perlu akur dengan arahan kerajaan, namun berharap agar harga dinaikkan sedikit ke­rana harga yang dikenakan oleh pembekal juga meningkat.

“Kami harap harga siling dapat dinaikkan sedikit kepada RM40,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI