MADRID, Sepanyol – Pelakon dan juga model, Dr. Soo Wincci berkongsi kejadian yang berlaku ke atas dirinya ketika berbuka puasa apabila dimarahi teman serumah gara-gara setin minuman.
Bekas ratu cantik Malaysia 2008 yang memasuki tahun ketiga menetap di Sepanyol menghabiskan pengajiannya itu berkata, dia dimarahi kerana mengambil minuman berkenaan tanpa kebenaran rakannya.
“Tahun 2021 merupakan tahun ketiga berpuasa di Sepanyol. Disebabkan Covid-19, kami dilarang keluar rumah selepas pukul 10 malam. Kebetulan waktu berbuka puasa pada minggu ini adalah pada pukul 9 malam.
“Jadi beberapa hari lalu, saya berbuka puasa pada pukul 9.30 malam dan terlupa untuk membeli minuman. Jadi saya mengambil satu tin minuman di dapur (milik teman serumah) dan berniat akan menggantinya semula esok,” katanya.
Ujar Wincci, dia tidak memberitahu teman serumahnya kerana masih belum pulang, selain kepalanya mula berasa pening kerana berpuasa dalam tempoh yang panjang.
“Bila teman serumah balik, saya cuba jelaskan tetapi dia marah dan menuduh saya gunakan puasa sebagai alasan (mengambil minuman tanpa izin).
“Saya hanya bersabar dan telah meminta maaf kepadanya,” tulisnya.
Ekoran kejadian tersebut, selebriti tinggi lampai itu terpaksa berbuka puasa pada pukul 12 tengah malam setiap hari bagi mengelak timbulnya sebarang masalah.
Terdahulu, sudah menjadi tradisi buat Wincci, 36, untuk berpuasa selama sebulan setiap kali tibanya Ramadan. Tahun ini merupakan tahun ke-10 dia melakukan amalan berpuasa.
Ujarnya, berpuasa menjadikan dirinya lebih berdisiplin dan memperoleh banyak nikmat merangkumi pelbagai aspek dalam kehidupan seharian. -K! ONLINE