LONDON – Everton kembali menghidupkan peluang mereka beraksi di pentas Eropah musim depan susulan kemenangan 1-0 ke atas West Ham United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium London kelmarin.
Meskipun menduduki tempat kelapan, namun Everton mampu merampas tempat kelima yang dihuni West Ham ketika ini jika berjaya menewaskan Aston Villa dalam aksi seterusnya di Villa Park pada Jumaat ini.
“Ia adalah satu kemenangan yang penting buat kami. Jika tidak, kami sudahpun terkeluar daripada perebutan ke pentas Eropah musim depan.
“Kami berjaya mengawal tekanan dalam perlawanan ini walaupun terpaksa banyak melakukan pertahanan. Aksi ini akan menjadi lebih mudah kalau kami berjaya meraih gol kedua.
“Apa-apa pun kami masih berjuang untuk ke Eropah. Saya harap empat perlawanan selepas ini dimanfaatkan sepenuhnya,” kata pengurus Everton, Carlo Ancelotti.
Sementara itu, penjaring gol kemenangan Everton, Dominic Calvert-Lewin berharap mereka dapat mengekalkan momentum semasa menentang Villa, Sheffield United, Wolverhampton Wanderers dan Manchester City selepas ini.
Kali terakhir Everton membuat penampilan di pentas Eropah adalah ketika di bawah bimbingan David Moyes dalam saingan Liga Europa edisi 2017/2018.
The Toffees ketika itu gagal mara ke pusingan 32 terbaik apabila menghuni tangga ketiga Kumpulan E di belakang dua gergasi Eropah, Atalanta dari Itali dan jaguh Perancis, Lyon. – AGENSI