BALING – Dua sahabat maut akibat dilanggar sebuah kereta di Jalan Kuala Ketil – Charuk Beras di Kampung Kuala Samak di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 petang itu, kedua-dua mangsa iaitu Muhammad Ikhwan Mad Sopian, 16, dan Muhammad Alif Luqman Abdul Halim, 15, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis Honda dinaiki dua remaja terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum mereka terjatuh di laluan bertentangan.
“Sebuah kereta jenis Nissan Almera yang datang dari arah bertentangan kemudian melanggar kedua-dua mangsa.
“Kemalangan mengakibatkan penunggang dan pembonceng motosikal itu maut di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pemandu Nissan Almera, wanita berusia 44 tahun serta tiga penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE