fbpx

Budak hip-hop Rap Der Raya pula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YONNYBOII bersama lima lagi penyanyi rap yang menjayakan lagu Rap Der Raya.

SEMPENA kedatangan Syawal beberapa hari lagi, syarikat Def Jam Malaysia menghadiahkan pendengar dengan sebuah lagu raya bertemakan genre hip hop yang segar.

Lagu yang diberi judul Rap Der Raya berkenaan uniknya menampilkan enam orang rapper yang sudah tidak asing lagi dalam dunia hiburan tanah air sama ada pasaran arus perdana ataupun ‘underground’. Mereka ialah Yonnyboii, Kmy Kmo, Luca Sickta, Siqma, Asyraf Nasir dan Abubakarxli.

Rap Der Raya merupakan ciptaan asal Yonnyboii dan diberi sentuhan istimewa dengan kerjasama Luca Sickta. Karya berkenaan memberi nafas baharu dalam trend penulisan lagu raya yang sedia ada dalam pasaran. Menekankan genre hip hop, kesemua penyanyi terbabit percaya bahawa lagu berkenaan akan memberi impak yang besar kepada dunia seni tanah air.

Selaku tunjang utama, Yonnyboii menyatakan harapannya agar lagu tersebut diterima dan membuka hati pendengar untuk menghayati karya daripada generasi baharu. Menurut pelantun lagu Aku Itu Aku itu, hasil akhir lagu berkenaan mendapat sentuhan rakan-rakan duet yang lain.

“Saya rakam lagu ini berseorangan sahaja di rumah atas faktor kesibukan jadual. Tetapi rakan penyanyi, Luca Sickta dan syarikat Def Jam Malaysia memberi sokongan untuk meneruskan proses rakaman.

“Tentang rakaman video muzik pula, sesuatu yang sangat menyeronokkan dan dapat banyak pengalaman baharu. Peluang mengenali artis-artis lain dan mereka yang terlibat di sebalik tabir iaitu warga kerja Def

Jam Malaysia dan Universal Music Malaysia dengan lebih rapat,” katanya.

Salah seorang penerbit muzik untuk lagu tersebut, Luca Sickta pula berkata, Rap Der Raya berpotensi menerapkan ‘mood’ raya kepada semua yang mendengar.

1980-an

Alunan melodi asal daripada Yonnyboii membuatkan dirinya tertarik untuk menerbitkan lagu berkenaan dalam versi baharu. Melodi pada bahagian korus memberi idea kepadanya menyusun komposisi muzik campuran moden dan 1980-an.

“Sangat ringkas dan santai. Ada pelbagai perspektif dalam lagu ini, jadi saya ambil elemen juadah hari raya sebagai salah satu intipati seiring dengan konsep lagu ini. Segala proses dipermudahkan walaupun tatkala wabak Covid-19 masih lagi menular. Syukur, proses rakaman berlangsung tidak sampai dua minggu,” katanya.

Salah seorang lagi rapper yang semakin membina nama iaitu Kmy Kmo turut memberi sentuhan dalam penghasilan lagu berkenaan.

“Proses rakaman video muzik Rap Der Raya adalah satu kenangan manis bagi saya. Sebab kami dapat rasakan kemeriahan raya lebih awal. Tidak ubah seperti sebuah keluarga besar yang pulang ke kampung dan raikan perayaan Aidilfitri bersama-sama dengan penuh gembira.

“Kiranya, ini kali pertama kami digabungkan dalam sebuah lagu beramai-ramai termasuk penggambaran video muziknya. Macam-macam keletah dapat dilihat. Paling penting, lokasi penggambaran dipenuhi dengan gelak tawa semua orang,” katanya yang merupakan rakan duet Luca Sickta.

Lagu Rap Der Raya sudah pun dilancarkan dalam semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 30 April lalu. Sementara video muziknya juga sudah tersedia dalam saluran YouTube Def Jam Malaysia pada hari yang sama, pukul 9 malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI