Baru-baru ini media sosial dikejutkan dengan sebuah video yang tular memaparkan anak kecil dipercayai berusia dua tahun menghisap vape yang diberikan oleh kedua ibu bapanya sendiri.
Tindakan berkenaan mengundang kemarahan dengan rata-rata netizen mengecam dan menempelak perbuatan ibu bapa berkenaan yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.
Tidak cukup dengan itu, orang ramai mula menyerang media sosial pasangan berkenaan dengan kata-kata makian dan kecaman.
Ada juga pihak yang mendesak agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis mengambil tindakan tegas termasuk mengambil alih hak penjagaan kanak-kanak terbabit.
Persoalan kini, bagaimanapun perkara demikian boleh berlaku?
Hakikatnya, makian dan kecaman bukan penyelesaian dan tidak mampu menghalang kejadian seumpama itu berulang.
Menurut Pakar Kekeluargaan yang juga Presiden Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia (PPPM), Prof. Dr. Fatimah Daud, kejadian berlaku disebabkan perbuatan ibu bapa yang tidak bertanggungjawab dan kurangnya ilmu mendidik.
“Ia juga bergantung kepada persekitaran si pelaku yang berkemungkinan tidak berpelajaran, selain hidup dalam kelompok masyarakat yang rosak akhlak dan moralnya.
“Bahasa mudahnya, mereka hidup dalam kelompok masyarakat yang tidak bertamadun,” ujarnya.
Selain itu, katanya, berkemungkinan ibu bapa terbabit sengaja menyuruh anak menghisap vape sekadar suka-suka atau mahukan keseronokan.
“Memang wujud kelompok manusia yang sengaja berbuat negatif untuk puaskan diri.
“Perbuatan itu juga merupakan salah satu daripada ciri-ciri sakit jiwa,” ujarnya.
Jelas beliau, sangat penting ilmu keibubapaan kepada mereka yang bakal berkahwin agar perkara-perkara positif dapat diterap dalam kehidupan berkeluarga.
Pada masa sama juga, pihak pertubuhan bukan kerajaan Malaysian Vape Industri Advocacy (MVIA) juga perlu tampil menyuarakan pandangan agar penggubalan undang-undang khusus berkaitan penggunaan vape diwujudkan bagi menghalang sebarang penyalahgunaan.
Presidennya, Rizani Zakaria berkata, tindakan tegas terhadap kedua-dua ibu bapa itu perlu dilakukan agar insiden sama tidak berulang.
“Kita harap kerajaan segera melaksanakan undang-undang khusus dan mengeluarkan peraturan berkaitan vape dan e-cecair agar perkara seperti ini dapat dibendung,” jelasnya.
“Kita juga tidak mahu perbuatan yang dilakukan ibu bapa kanak-kanak tersebut menyebabkan masyarakat memandang serong kepada penggunaan vape yang,” ujarnya.
Secara tuntasnya, dapatlah disimpulkan bahawa pentingnya ilmu keibubapaan dan sokongan masyarakat persekitaran dalam melahirkan keluarga yang sakinah dan mawaddah.
Usia muda untuk berkahwin bukan penyebab utama, sebaliknya ilmu pengetahuan dan didikan keluarga dari segi sosial dan keagamaan itu yang penting yang berperanan memacu kehidupan bahagia sebuah keluarga.
Justeru itu, peranan tersebut bukan hanya dimainkan satu pihak semata-mata bahkan juga perlukan sokongan semua pihak termasuk kerajaan, media massa dan juga orang di sekeliling.
Hentikan sikap menuding jari dan menyalahkan satu-satu pihak kerana ia tidak mampu menyelesaikan masalah yang timbul.