PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa bimbang terhadap situasi terkini kes Covid-19 yang tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda berharap agar pihak kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat melipatgandakan usaha untuk melandaikan kes positif harian wabak Covid-19.
“Baginda bertitah agar semua pihak berganding bahu membantu kerajaan serta petugas barisan hadapan menjayakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam usaha memerangi wabak berbahaya ini.
“Kerajaan serta semua pihak bertanggungjawab diminta untuk membantu rakyat yang terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19 untuk meneruskan kelangsungan kehidupan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Baginda turut menasihati rakyat untuk duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan di seluruh negara mulai esok hingga 7 Jun depan.
“Seri Paduka Baginda menjelaskan bersama kita bantu petugas barisan hadapan mengekang rantaian jangkitan Covid-19 di negara dengan berkesan.
“Masyarakat juga secara umumnya dilarang merentas negeri dan dearah seperti diputuskan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan selaras dengan prinsip menjaga kemaslahatan ummah dan juga hifzu al-nafs (menjaga nyawa),” katanya.
Jelasnya, Seri Paduka Baginda menzahirkan keyakinan bahawa penularan wabak Covid-19 ini mampu dikurangkan dengan kerjasama semua pihak.
Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengajak rakyat berdoa supaya negara sentiasa diberkati dan dilindungi daripada ancaman wabak Covid-19. – K! ONLINE