fbpx

Waspada penipuan aplikasi palsu MyBNM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran terhadap penggunaan aplikasi palsu MyBNM yang digunakan sindiket untuk memperdaya mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, mangsa dalam kes-kes terbabit akan dihubungi ahli sindiket yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa termasuklah Bank Negara Malaysia (BNM).

“Mangsa yang terpedaya akan diminta untuk memuat turun aplikasi palsu dan diminta untuk memasukkan butiran peribadi seperti nombor kad ATM, nombor pin dan kata laluan.

“Setelah maklumat diperolehi, sindiket akan membuat pindahan wang dari akaun mangsa ke akaun pihak ketiga (keldai akaun).

“Mangsa hanya disedari ditipu setelah mengetahui wang di dalam akaun miliknya berkurang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, sepanjang tahun lalu, sebanyak 53 kes telah dilaporkan dengan kerugian berjumlah lebih RM1.1 juta manakala tahun ini sehingga April, sebanyak 57 kes dilaporkan dengan kerugian mencecah RM1.7 juta.

“Bagi menangani peningkatan kes ini, PDRM komited untuk melipatgandakan usaha daripada aspek siasatan dan operasi.

“Kita juga menyeru menyeru masyarakat agar menitik berat aspek pencegahan jenayah yang merangkumi ilmu pengetahuan dan kewaspadaan,” katanya.

Tambah Zainuddin, antara langkah yang boleh digunakan ialah usah terlalu mudah mempercayai sekiranya penguat kuasa dalam panggilan itu meminta untuk memuat turun aplikasi MyBNM.

“Jangan tekan pada mana-mana pautan, memuat turun aplikasi mudah alih yang tertera nama MyBNM atau berkongsi apa-apa maklumat perbankan.

“Pastikan membuat semakan pengesahan melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau memuat turun aplikasi SEMAK MULE CCID,” katanya.

Jelasnya, aplikasi MyBNM adalah satu kemudahan dalam talian yang pernah disediakan pihak BNM bermula November 2015. Namun, ia telah ditamatkan oleh pihak BNM pada November tahun lalu dan satu pengumuman juga pernah dikeluarkan oleh pihak terbabit. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI