PUTRAJAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyarankan masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan supaya melaksanakan solat hajat pada malam ini.
Solat hajat itu bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin daripada kezaliman tentera Israel.
Pengarah Jawi Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, masjid, surau Jumaat dan surau di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan disaran mengadakan solat hajat malam ini.
“Sesungguhnya doa yang dikirimkan dari kejauhan di dalam bulan Ramadan yang penuh barakah.
“Solat hajat ini adalah lambang solidariti umat Islam terhadap rakyat Palestin khususnya di Wilayah Persekutuan bagi mengecam serangan tersebut dan menentang kezaliman berterusan dilakukan tentera Israel terhadap rakyat Palestin,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Ketegangan di Baitulmaqdis kembali memuncak sejak beberapa minggu lalu, berikutan rakyat Palestin memprotes larangan Israel terhadap akses ke beberapa bahagian di Kota Lama ketika Ramadan.
Selain itu, pihak berkuasa Israel turut mengarahkan beberapa keluarga Palestin meninggalkan rumah mereka bagi memberi jalan untuk penduduk Israel. – K! ONLINE