LONDON – Sebuah periuk masakan yang kononnya mengandungi abu mayat orang kerdil didakwa disumpah dan mengakibatkan kematian kepada sesiapa yang menyentuhnya, lapor akhbar Daily Star, kelmarin.
Perkakas dapur itu diletakkan dalam sangkar besi khas selama 50 tahun sejak pertengahan 1970-an. Periuk itu didakwa telah menyebabkan kematian tiga individu yang menjumpainya.
Legenda tempatan mengatakan periuk mengandungi abu orang kerdil yang terbunuh di Thornton Abbey, England, demikian menurut akhbar GrimsbyLive.
Periuk itu ‘dikurung’ di sebuah ladang di Lincolnshire Utara, England sehingga dijumpai oleh beberapa pekerja sekitar tahun 70-an semasa mereka melakukan kerja pembinaan.
Penemuan semula periuk itu menghantui penduduk tempatan yang mendakwa perkakas itu disumpah.
Salah seorang yang didakwa menjadi mangsa periuk itu ialah Charles Atkin, 6,. Mangsa pernah tinggal di Manor Farm dan mati digilis traktor sehari selepas tersepak periuk tersebut.
Ketika itu, abangnya, John Atkin memberitahu bahawa periuk itu disimpan di bilik bawah tanah dan ayah mereka melarang untuk mendekatinya.
“Pada suatu hari, ketika kami bermain di bilik itu, Charles secara tidak sengaja tersepak periuk itu.
“Keesokan harinya, Charles maut digilis traktor ketika bermain di ladang berhampiran,” kata Atkin.
Periuk itu didakwa mengakibatkan beberapa kematian lain sebelumnya.
Sebuah laporan surat khabar pada waktu itu mengatakan seorang paderi bernama Bob Kenyon terpaksa dipanggil untuk memindahkan periuk itu ke sebuah lokasi rahsia.
“Kenyon melakukan upacara keagamaan ke atas periuk itu sebelum memasukkannya ke dalam tong dan dibungkus sebelum dikunci dalam sangkar besi yang dipasak ke dinding,” tulis laporan itu. – Agensi