fbpx

Pasang surut karier setahun jagung Kucaimars

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUCAIMARS

PANDEMIK yang masih berlegar ketika ini sememangnya memberi impak cukup kuat buat masyarakat dunia terutama dari segi survival kehidupan.

Sama seperti orang lain, penyanyi Kucaimars tidak terkecuali dalam mendepani hari-hari yang penuh mencabar semenjak dunia dilanda pandemik tahun lalu.

BARU hendak bertatih, karier anak muda ini bergoyang gara-gara penularan pandemik yang merencatkan banyak sektor ekonomi termasuk dunia hiburan dan seni.

Akuinya, Covid-19 meninggalkan 1,001 kesan yang tidak terjangka dek akal sebelum ini, terutamanya dari aspek kerjayanya selaku seorang penghibur.

Jika dahulu, dia bebas melakukan persembahan di depan ribuan khalayak ramai tanpa pernah memikirkan soal penjarakan fizikal atau risiko jangkitan, seperti apa yang menjadi amalan wajib ketika ini.

SEJAK pandemik melanda, perkara paling dirindui Kucaimars adalah untuk bertemu dengan peminat dan mengadakan persembahan di depan khalayak umum.

“Kalau ditanya sama ada terjejas atau tidak, sudah tentu saya pun menghadapi perkara sama seperti orang lain. Tambahan pula, saya baru setahun jagung menceburi industri seni suara arus perdana.

“Tiba-tiba tanpa kita semua duga dan terfikir, dunia dilanda pandemik. Masyarakat pula berdepan pelaksanaan perintah berkurung selama berbulan-bulan bahkan bertahun lamanya. Sedangkan sebelum itu, kehidupan kita bebas.

“Pada malam sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lepas, saya sedang berada di Johor mengadakan persembahan. Tetapi apakan daya, perkara yang berlaku tidak boleh diduga dan saya percaya ada hikmahnya untuk semua orang,” katanya ketika bertemu pada sesi fotografi baru-baru ini.

Momentum

Sejak bergelar penyanyi komersial secara rasmi pada 2019, perjalanan karier anak muda itu ada pasang surutnya.

Bagaimanapun, perubahan yang dirasakannya tidaklah terlalu ketara memandangkan selama ini dia sendiri selesa hidup tanpa kerap ‘menjaja’ semua aktiviti dalam media sosial.

TIDAK terkecuali, Kucaimars juga terkesan kerana pandemik. Namun memilih bertenang dan berusaha mencari jalan menambah pendapatan dengan cara lain. 

“Saya tidak boleh merungut dengan apa yang terjadi, sebab sesusah mana pun, saya sangat bersyukur sebab ada banyak lagi benda lain yang boleh dibuat selain persembahan, contohnya macam ulasan atau iklan berbayar dalam media sosial.

“Biarpun sebenarnya sangat rindu buat persembahan lebih-lebih lagi bersama band. Sejujurnya apa yang sedang saya lakukan sekarang memang tidak puas, sebab perkara yang disukai iaitu bertemu dengan peminat sudah lama tidak dapat dilakukan.

“Sebenarnya, kelab peminat saya anjurkan acara anugerah sesama mereka. Aktiviti suka-suka yang mengeratkan hubungan antara kami. Insya-Allah tahun ini kalau tiada aral melintang, mungkin akan diadakan selepas sambutan Aidilfitri,” kongsi Kucaimars.

Jarang kongsi

Biar apa yang berlaku, penyanyi berusia 23 tahun itu tetap optimis mendepani hari mendatang dengan pelbagai usaha mencari pendapatan, sekali gus enggan namanya terus tenggelam.

Tawaran yang datang mungkin tidak sama seperti dahulu yang berbentuk persembahan nyanyian, namun sehingga kini rezekinya masih belum putus.

SINGLE terbaharu Wanita menonjolkan sisi berbeza penyanyi muda ini yang pertama kali mempertaruhkan genre balada pop band.

Cuma disebabkan tabiatnya yang kurang gemar berkongsi dalam media sosial menjadi punca ada yang beranggapan sinarnya semakin tenggelam dek situasi sekarang.

“Ada ramai yang tanya mana saya menghilang sebab macam senyap sahaja dalam media sosial. Tetapi mungkin disebabkan jarang berkongsi, orang ingat saya ‘sendu’.

“Sebenarnya saya masih ada dan tetap aktif macam biasa. Cuma itu adalah cara saya menjaga profil akaun media sosial. Berkongsi jika melibatkan kerjaya sahaja,” jelasnya.

MENURUT Kucaimars, golongan artis muda perlu kreatif menggunakan kewujudan media sosial dengan sebaik-baiknya untuk menjana pendapatan.

Tambah pelantun lagu Mudah Bagimu itu lagi, antara sebab lain yang menyebabkan dia jarang memuat naik perkongsian terutama dalam YouTube disebabkan wujudnya perasaan bimbang.

Jelasnya, perasaan bimbang selalu ada sekiranya apa yang dikongsikannya nanti akan menimbulkan rasa muak kepada peminat.

“Saya memang macam ini, kalau kongsi apa-apa dalam YouTube contohnya lagu, akan buat jarang-jarang. Tidak selalu. Pernah saya berehat daripada kongsi lagu selama sebulan.

“Puncanya sebab risau orang muak. Dahulu pun orang mula kenal saya sebab sering buat lagu nyanyian semula karya Indonesia. Cukup sekali dua sahaja, kemudian saya berhenti. Sebab ada perasaan bimbang,” ujarnya yang baru sahaja muncul dalam drama Covid oh Covid baru-baru ini.

Wanita

Berkongsi sedikit perkembangan terkini, pemilik nama sebenar Amirul Husyairi Nani itu baru sahaja meluncurkan single terbaharu, Wanita yang sekali gus menjadi single keempatnya pada Februari lalu.

Menceritakan lanjut, ini kali pertama dia tampil berbeza apabila mengetengahkan genre balada pop.

KUCAIMARS pernah berjinak-jinak dengan perniagaan biskut kecil-kecilan, namun bertindak menamatkan projek tersebut kerana mengakui darah mudanya cepat berasa puas dengan pencapaian dimiliki.

“Lagu ini tentang kisah putus cinta. Selepas lagu Mudah Bagimu, Khayalan dan Jawab, saya cuba menyuntik elemen berbeza dalam persembahan lagu Wanita.

“Emosi lebih banyak disuntik pada bahagian nada suara dan pengajaran di sebalik lirik lagu.

“Video muzik rasmi yang diluncurkan baru-baru ini juga ada sedikit kelainan iaitu lebih berat dari segi persembahan dan seninya,” tutup Kucaimars.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI