PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen membenarkan pelayar asing yang berada di perairan negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk terus tinggal di Malaysia sehingga 31 Disember depan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka boleh berbuat dengan memohon Pas Lawatan Sosial (PLS) daripada pejabat Imigresen berdekatan yang memerlukan surat pengesahan daripada kedutaan masing-masing.
Menurutnya, surat sokongan dari pengusaha atau pemilik marina di mana mereka berlabuh juga hendaklah disertakan dalam permohonan berkenaan.
“JIM telah mengadakan satu perbincangan bersama pengusaha dan persatuan marina Malaysia secara sidang video.
“Perbincangan berkenaan berkisar mengenai tindakan-tindakan yang perlu diambil oleh pelayar-pelayar asing bagi membolehkan mereka terus tinggal dan berlabuh di marina-marina berkaitan selepas tarikh 21 April lalu ,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, pihaknya mendapati ada beberapa kes penyalahgunaan PLS oleh pelayar asing melalui operasi penguatkuasaan yang dijalankan sepanjang tahun lalu dan tahun ini.
“Setakat 10 Mei lalu, terdapat kira kira 138 pelayar asing yang dikesan berlabuh secara sah di sekitar perairan Malaysia.
“Namun terdapat juga dalam kalangan pelayar asing ini yang berlabuh secara haram dan mereka bakal berdepan dengan tindakan undang-undang oleh agensi berkaitan,” ujarnya. – K! ONLINE