KETIKA ini, kebanyakan graduan mengimpikan untuk mendapatkan pekerjaan tetap dalam sektor kerajaan bagi menjamin masa depan yang lebih cerah sehingga hari tua.
Bagaimanapun, tidak buat Mohamad Anif Azami yang menolak bekerja dalam sektor awam dengan memilih untuk berhenti selepas dua tahun berkhidmat.
Lelaki berusia 28 tahun itu berbuat demikian bagi membolehkannya bergiat aktif dalam bidang keusahawanan yang dilihat memberi pulangan lebih besar daripada makan gaji.
Mohamad Anif yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan, Universiti Malaya berkata, dia sesekali tidak menyesal dengan keputusan yang diambil sejak dua tahun lalu.
“Selepas keluar dari universiti, saya diterima bekerja dengan jawatan tetap dalam sektor awam di sebuah kementerian di ibu kota.
“Ketika selesa di situ, saya mengambil keputusan untuk berhenti. Ramai yang terkejut dengan keputusan itu kerana saya seperti menolak tuah,” katanya ketika ditemu bual iGen baru-baru ini.
Lelaki berasal dari Johor Bahru, Johor itu menegaskan, dia memilih berhenti kerja untuk memberi tumpuan dalam sektor perniagaan kecil dan sederhana.
Jelasnya, berbekalkan modal kurang RM1,000, Mohamad Anif menubuhkan syarikat Aducktive Food Sdn. Bhd. (Aducktive) bersama isterinya, Nor Shahira Kamaruzaman, 28.
Katanya, syarikat itu mengeluarkan produk kudapan diperbuat daripada kepingan emping jagung (cornflakes) yang sesuai dijamah setiap masa.
“Saya memilih untuk bergiat sebagai usahawan selepas melihat potensi besar dalam bidang ini. Saya yakin dengan bisnes mampu membantu menjana pendapatan lebih lumayan.
“Sebelum ini ketika makan gaji, perbelanjaan saya melebihi pendapatan,” ujar bapa kepada seorang cahaya mata itu.
Mohamad Anif memaklumkan, idea menghasilkan kudap-kudapan berasaskan emping jagung tercetus sewaktu dia dan isteri bersantai di dapur sambil mencari idea menghasilkan produk untuk dijual.
Jelasnya, ketika mencari idea, mereka terpandang kotak cornflakes di satu sudut dapur yang sering dijamah bersama susu untuk bersarapan.
“Daripada situ, kami dapat idea untuk menjadikannya sebagai kudapan dengan menambahkan bahan perasa.
“Bermula dengan perisa telur masin pedas, ternyata produk inovasi itu mendapat maklum balas positif daripada keluarga dan rakan.
“Ini sekali gus memberi keyakinan kepada kami untuk memasarkan produk secara besar-besaran dengan menyasarkan pembeli di pejabat,” imbaunya.
Bermula dari rumah, kini Mohamad Anif boleh berbangga apabila memiliki kilang sendiri di Kawasan Perindustrian Kota Puteh, Batu Arang, Selangor.
Lelaki bersemangat waja itu juga berjaya menggaji 50 pekerja serta memberi manfaat kepada lebih 3,000 ejen pengedar produk di seluruh negara.
Dia juga berjaya menambah beberapa lagi produk antaranya adalah the original salted egg cornflakes, mini popia rangup dan muruku ikan bilis.
Tegasnya, cabaran utama sebagai usahawan adalah untuk mendisiplinkan diri serta sentiasa komited dalam melakukan tugas harian.
“Apabila ada bisnes sendiri, kita perlu ada disiplin. Kalau tiada disiplin kita akan buat kerja ini secara sambil lewa hingga menyebabkan bisnes lingkup.
“Saya selalu ingatkan diri, kalau saya bekerja keras, maka hasil yang diperoleh lebih banyak. Kalau malas, hasil dapat pun sedikit sekali gus akan menjejaskan pendapatan syarikat.
“Kebetulan, ibu saya (Shariah Sharif, 63) seorang operator kilang selama 30 tahun. Jadi, apabila ada kilang sendiri, saya perlu lakukan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.
Sebelum mengakhiri bicara, Mohamad Anif sempat menitipkan pesanan kepada graduan supaya memberanikan diri untuk menceburi bidang keusahawanan.