PASIR MAS – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedia membantu individu atau kumpulan khususnya golongan muda yang berminat untuk memulihkan semula tanah terbiar bagi tujuan pertanian.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, bantuan berbentuk barangan itu merupakan salah satu usaha untuk mengembalikan proses pemulihan tanah bagi tujuan pertanian.
Menurutnya, bukan itu sahaja, MAFI akan turut membantu dengan berkongsi kepakaran dalam usaha memulihkan tanah-tanah itu sehingga aktiviti pertanian dapat dijalankan.
“Apabila berjaya dipulihkan, kita harap individu atau kumpulan terlibat menunjukkan komitmen tinggi sepanjang proses mengusahakan tanah-tanah ini.
“Kita tidak mahu, aktiviti ini (pertanian) berhenti dipertengahan jalan sahaja dan mahu ia terus berkekalan,” katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau projek tanaman tembikai di Kampung Gelang Mas di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong, Rozi Mohamad.
Mengulas lanjut, Che Abdullah memberitahu, pihaknya juga sedang mengerakkan usaha untuk menarik lebih ramai golongan muda berkecimpung dalam pertanian.
Katanya, ia diperkasakan lagi dengan penubuhan pasukan khas dalam menarik minat golongan muda menceburi bidang tersebut.
“Kita berharap generasi muda dapat merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan dengan sebaik mungkin,” ujarnya.-K!ONLINE