FILEM adiwira terkenal Superman buat julung kalinya akan menampilkan watak utama dan pengarah berkulit hitam.
Bagaimanapun, kedua-dua posisi berkenaan masih menjadi teka-teki sehingga ke hari ini.
Namun difahamkan, ada beberapa nama calon dicanang-canang akan membawa watak ikonik itu antaranya pelakon popular Michael B. Jordan.
Sebelum ini, nama Jordan pernah disebut-sebut akan memegang watak Superman sejak 2019 lagi, namun dia tampil menafikan dakwaan berkenaan.
“Saya sangat terharu apabila menjadi perbualan ramai. Semestinya ini penghormatan buat saya. Tetapi saya cuma akan jadi penonton untuk filem ini,” katanya kepada Hollywood Reporter.
Filem terakhir menampilkan adiwira terbabit adalah pada 2017 menerusi Justice League yang menampilkan watak Superman digalas oleh pelakon serba boleh, Henry Cavill.