PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan meningkat lagi usaha untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi berasaskan pertanian di kawasan luar bandar di negeri ini bagi membantu penduduk meningkatkan hasil pendapatan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, antara tanaman yang menjadi tumpuan adalah buah-buahan yang dapat mengeluarkan hasil dalam jangka masa pendek, bernilai komersial dan mampu memberi pulangan yang baik.
“Saya akan meminta jabatan dan agensi dibawah MAFI untuk membantu melihat potensi aktiviti ekonomi berasaskan pertanian agar penduduk di kawasan luar bandar dapat merasai pulangan yang lebih cepat seterusnya meningkatkan hasil pendapatan,” katanya.
Sejajar dengan usaha itu, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata MAFI telah melaksanakan projek perintis tanaman nanas MD2 di Kampung Rungus Beluran melibatkan sebanyak 26,000 pokok yang telah dimulakan pada Januari 2020 dan telah mula mengeluarkan hasil pada April lepas.
“Kita harapkan agar projek perintis tanaman nanas MD2 diusahakan di Kampung Rungus akan dapat mengalakkan pengusaha lain di negeri ini untuk mencebur diri dalam penananam nanas,” katanya sambil menambah Sabah mempunyai tanah yang luas dan baik boleh diusahakan untuk tanaman nanas.
Beliau berkata nanas merupakan antara buah-buahan yang dieksport secara meluas dari Semenanjung Malaysia dan mendapat sambutan di peringkat antarabangsa.
“Melihat kepada potensi tanaman nanas ini, MAFI dalam usaha mewujudkan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di Sabah yang telah mendapat kerjasama baik daripada kerajaan negeri Sabah bagi merealisasikan usaha ini,” tambahnya. – K! ONLINE