fbpx

Jualan barangan tempatan di KBBM Shopee cecah RM100 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander berucap selepas majlis penyerahan e-voucher daripada Shopee Malaysia kepada KPDNHEP di sini hari ini. Foto IHSAN KPDNHEP

PUTRAJAYA – Sebanyak RM100 juta nilai jualan dijana menerusi pemasaran kira-kira 120,000 barangan buatan tempatan yang disenaraikan dalam laman mikro Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di platform e-dagang Shopee bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember tahun lalu

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah jualan dalam tempoh enam bulan itu telah memanfaatkan seramai 7,700 penjual tempatan.

“Kerjasama KPDNHEP dan Shopee melalui platform e-dagang telah banyak membantu usahawan-usahawan tempatan dalam mengetengahkan serta menjual produk berasaskan perkhidmatan industri kecil dan sederhana (IKS) dalam memastikan ekonomi domestik tidak ketinggalan.

“Kolaborasi dalam menjayakan KBBM telah membuka ruang dan kejayaan besar terhadap usahawan dan produk serta perkhidmatan tempatan,” katanya ketika berucap selepas menyaksikan majlis penyerahan e-voucher daripada Shopee Malaysia kepada KPDNHEP di sini hari ini.

Pada program itu, sebanyak 2,000 unit baucar, bernilai RM50 setiap satu telah diserahkan oleh Shopee Malaysia melalui Program Food Bank Malaysia (PFBM) dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM100,000.

Baucar itu akan membantu golongan yang memerlukan bersempena dengan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai bagi tahun 2021.

Sementara itu, Alexander berkata, kementerian mengalu-alukan penyertaan pemain-pemain industri seperti Shopee Malaysia dalam program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai penzahiran rasa terima kasih dan keperihatinan syarikat terhadap usaha-usaha kerajaan dalam membantu dan meringankan kos sara hidup rakyat terutama B40 dan mereka yang terkesan dengan Pandemik Covid-19.

“Harapan dan hasrat kerajaan adalah untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan dalam pelbagai bentuk bukan sahaja bantuan makanan tetapi pelbagai kaedah.

“Dalam hal ini, kementerian ini telah mengambil inisiatif untuk terus melaksanakan program bantuan kepada golongan sasar secara holistik melalui PFBM,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI