fbpx

JDT kekal ampuh di gelanggang lawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAFAWI (kanan) meraikan jaringan bersama Syamer Kutty Abba ketika membantu JDT meraih kemenangan 3-0 ke atas Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang malam kelmarin. – JOHOR SOUTHERN TIGERS

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terus gah mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang lawan pada saingan Liga Super musim ini apabila menang 3-0 ke atas Pe­nang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang malam kelmarin.

Tiga gol menerusi jaringan Safawi Rasid, Bergson da Silva dan Mohamadou Sumareh turut memastikan skuad Harimau Selatan itu terus mengukuhkan cengkaman di persada liga.

Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora tanpa berselindung mengakui pemain-pemainnya menampilkan aksi terbaik meskipun beraksi dalam kea­daan padang yang kurang baik.

“Saya sangat gembira de­ngan prestasi semua pemain walaupun berdepan pasukan yang hebat seperti Penang. Kemenangan ini beri suntikan semangat kepada kami menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) nanti.

“Ya, kami belum tewas (di tempat lawan) dan amat pen­ting untuk catat kemenangan apabila berkunjung ke tempat mereka. Bagi saya, ini adalah salah satu aksi terbaik kami musim ini,” kata pengendali dari Mexico itu selepas tamat perlawanan.

Meskipun mencatat kemenangan selesa, namun Mora tetap memuji aksi Penang yang banyak memberikan kesukaran kepada mereka sepanjang 90 minit permainan.

Selain itu, beliau juga gembira dengan permainan yang ditampilkan pemain tengah, Safiq Rahim apabila banyak menjadi antara kunci kemena­ngan Harimau Selatan.

“Penang bukanlah calang-calang pasukan kerana mereka buatkan kami berada dalam keadaan sukar sepanjang perlawanan. Mereka memiliki corak permainan yang unik.

“Pada masa sama, saya juga gembira dengan prestasi Safiq kerana dia sentiasa tahu apa yang perlu dilakukan untuk membantu pasukan. Bagi saya, Safiq sudah boleh dianggap sebagai legenda,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI