SEREMBAN – “Saya reda, jasad anak akhirnya dijumpai hari ini selepas lebih kurang 30 jam hilang,” luah Nur Ain Ismail, 27, ibu kepada Mohammad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly, 8.
Menurutnya, ketika jasad anaknya itu ditemukan, dia berada di rumah dan bergegas ke tempat kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi tadi.
“Saya reda dan berdoa sahaja, bersyukur akhirnya semuanya selesai. Terima kasih kepada semua agensi yang terlibat membantu mencari anak saya yang hilang sejak petang kelmarin,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini hari ini.
Ketua Zon Seremban, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Khair Amir Ahmad berkata, mayat Mohammad Syafiq Mustaqim yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ketika bermain di longkang di Flat Cempaka, Garden Avenue, Seremban 2 dekat sini, kelmarin ditemukan pagi ini.
Mayat ditemukan pada pukul 7.30 pagi oleh anggota bomba ketika melakukan rondaan di kolam takungan air di Taman Arowana Indah.
“Semasa rondaan anggota bomba menemui mayat timbul di permukaan air tidak jauh 30 meter dari pintu kunci kolam tebatan banjir yang dibuka semalam. Kami mengesyaki kemungkinan mayat mangsa terbenam di dalam lumpur.
“Kami menemui mayat mangsa dalam keadaan telingkup dalam keadaan tidak berbaju dan seluarnya sudah lurut. Ketika ditemui muka mangsa dalam keadaan mengelupas,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 4 petang, Sabtu lalu, mangsa yang mesra dipanggil Aqim oleh ahli keluarganya tergelincir ketika bermain di longkang bersama abangnya yang berusia 10 tahun dan seorang rakan berusia 12 tahun.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, mangsa dikatakan tergelincir ketika bermain di longkang tersebut dan sewaktu kejadian, hujan agak lebat dan dipercayai mangsa dihanyutkan air deras.
Dalam pada itu, Nurain memberitahu, jenazah anaknya perlu menunggu keputusan ujian Covid-19 yang dijangka dikeluarkan esok pagi.
“Saya dimaklumkan jenazah anak saya akan diuruskan selepas ujian Covid-19 diterima dan dijangka esok pagi. Saya mahu berbincang bersama keluarga bekas suami terlebih dahulu untuk urusan pengkebumian esok,” katanya.-K!ONLINE