TERPANGGIL menyegarkan dalam masa sama melihara khazanah muzik tempatan, kumpulan Kopratasa menjayak sebuah projek istimewa dengan menyanyikan semula lagu Selamat Hari Raya ciptaan Tengku Ali Basha pada 1936, nyanyian asal Miss Aminah yang dipercayai merupakan lagu raya pertama tanah air kerana dicipta pada 1936.
Sebagai pencinta seni, Kopratasa yang dianggotai, Siso, Usop dan Sani berasa rugi andai lagu berkenaan terbiar ditelan zaman. Justeru, mereka memberi nafas baharu dengan menyuntik elemen-elemen muzik tradisi dengan cara moden bagi disesuaikan dengan kualiti dan halwa telinga pendengar masa kini.
“Lagu Selamat Hari Raya ini mempunyai nilai sejarah tersendiri. Sayang dan rugi andai lagu ini dibiarkan begitu sahaja. Lagu ini telah membuka sejarah pada sambutan hari raya pada zamannya.
“Atas sebab itu, kami merakamkan semula lagu tersebut dengan nafas baharu untuk tatapan semula generasi masa kini,” kata Siso atau nama sebenarnya Syed Indra Syed Omar.
Perancangan tersebut segera dilunaskan selepas mendapat persetujuan Luncai Emas selaku penerbit.
Biarpun sebuah rakaman semula lagu lama, Kopratasa tetap membuat penambahan melodi pada bahagian korusnya.
“Kami menambah sendiri melodi pada bahagian korus supaya kedengaran seperti muzik
Kopratasa. Bukanlah niat kami untuk merosakkan lagu tersebut, sebaliknya hanya mahu memeriahkan lagi meldi supaya menepati suasana gembira pada hari raya.
“Inovasi yang dibuat pada melodi lagu berkenaan langsung tidak menganggu nilai lagu asalnya.
Melodi asal tetap dijaga, senikatanya juga tetap diguna seperti lagu yang asal,” ujar Sani.
Kembali bergabung
Kopratasa amat berharap lagu yang mendapat sentuhan Hanafi Spider selaku penerbit di Studio Ronggeng, Luncai Emas itu dapat memberi keunikan pada sambutan Aidilfitri tahun ini.
Hal ini seiring dengan keberadaan Kopratasa sendiri yang sudah lama membawa haluan masing-masing, tetapi kembali bergabung dengan projek istimewa berpayungkan Luncai Emas demi peminat muzik.
“Kami berharap lagu Selamat Hari Raya dapat mengubat kerinduan peminat terhadap Kopratasa dan pada masa sama boleh memeriahkan sambutan Aidilfitri yang disambut dengan norma baharu,” ujar Usop.
Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pandemik Covid-19 penggambaran video muzik lagu Selamat Hari Raya dilakukan di dalam studio dan pejabat Luncai Emas sekitar awal Ramadan lalu.
Peminat yang ingin mendengar lagu Selamat Hari Raya sentuhan Kopratasa, boleh mendapatkan single ini menerusi platform digital YouTube dan iTunes mulai 9 Mei lalu. – K! ONLINE