DUBAI, Emiriyah Arab Bersatu – Syarikat penerbangan kargo Dubai, Emirates akan menerbangkan bekalan perubatan dari Dubai ke sembilan buah bandar di India secara percuma mulai minggu ini dalam usaha membantu memerangi lonjakan kes koronavirus di negara itu, lapor akhbar Gulf Today, kelmarin.
Kebanyakan bantuan antarabangsa telah disalurkan ke India di mana kadar jangkitan tidak terkawal menyaksikan hospital-hospital lumpuh akibat kekurangan katil, ubat-ubatan, tangki oksigen dan bekalan lain.
Berita itu diumumkan di Bandar Kemanusiaan Antarabangsa Dubai yang merupakan gudang simpanan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang sangat penting untuk pengedaran peralatan perubatan ke seluruh dunia.
Emirates akan menyediakan ruang kargo percuma untuk mengangkut bekalan daripada badan-badan amal yang berpusat di Dubai, kata Naib Presiden Kanan Emirates, Nabil Sultan.
“Kami benar-benar komited untuk membantu India,” katanya.
Bekalan itu akan diatur melalui Bandar Kemanusiaan Antarabangsa Dubai, gudang simpanan yang digunakan oleh banyak badan bukan kerajaan untuk mengangkut bantuan ke seluruh dunia.
Menurut Nabil, penerbangan menghantar bekalan itu akan dijalankan secara percuma sehingga satu tempoh yang akan diberitahu kelak.
“Kami sudah lama memiliki hubungan baik dengan India dan dalam masa-masa sukar seperti ini, saya rasa sangat penting untuk memastikan komoditi penting sampai ke India dan penduduknya.
“Ini adalah masanya untuk kita menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukan,”ujarnya.
Penerbangan pertama di bawah program “jambatan udara” itu dijadualkan berangkat ke New Delhi pada 13 Mei ini dengan membawa 12.6 tan khemah pelbagai guna daripada WHO.
Emirates mengendalikan 95 penerbangan mingguan ke sembilan bandar raya India iaitu New Delhi, Mumbai, Bengaluru, Kolkata, Ahmedabad, Chennai, Cochin, Hyderabad dan Trivandrum.
Penerbangan bantuan percuma ini menawarkan kira-kira 5,000 tan muatan mingguan. – Agensi