MADRID – Pemain pilihan No. 5, Aryna Sabalenka berjaya menamatkan penantian kejuaraan di gelanggang tanah liat selepas menjuarai Terbuka Madrid dengan menewaskan pemain No. 1 dunia, Ashleigh Barty dengan keputusan 6-0, 3-6, 6-4 awal pagi semalam.
Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan dendam Sabalenka ke atas Barty yang menewaskannya pada dua kejohanan sebelum ini ketika suku akhir Terbuka Miami dan final Terbuka Stuttgart bulan lepas terbalas.
Kata Sabalenka, kemenangan pada kejohanan bertaraf Masters dengan menewaskan pemain berkualiti seperti Barty sekali gus membuktikan bahawa kelemahannya pada gelanggang tanah liat sebelum ini akhirnya berjaya diatasi.
“Kini, saya sudah tidak takut lagi dengan gelanggang tanah liat dan mungkin sebelum ini saya ada sedikit tekanan setiap kali beraksi kerana percaya tanah liat bukan kepakaran saya.
“Namun, situasinya sudah mula berubah dengan melakukan persiapan dan latihan rapi sebelum turun ke gelanggang,” katanya.
Mengulas lanjut, pemain berusia 23 tahun itu berpuas hati apabila dapat menafikan cabaran daripada Barty dengan mempamerkan aksi cukup sempurna terutamanya pada set pertama dan ketiga.
“Saya tidak mahu membandingkan aksi final kali ini dengan pertemuan di Miami atau Stuttgart. Apa yang pasti, saya hanya mendengar arahan jurulatih dan berusaha membuat yang terbaik dengan tidak memberi ruang buat Barty menguasai perlawanan,” katanya.
Sebagai rekod, kemenangan di Terbuka Madrid menjadikan kejuaraan kedua yang berjaya diraih oleh atlet kelahiran Belarus itu pada kempen siri Jelajah WTA selepas Terbuka Abu Dhabi pada Januari lagi. – AGENSI