MOLSHEIM, PERANCIS – Pengeluar automobil terkemuka, Bugatti, memperkenalkan meja snuker termahal di dunia yang dijual pada harga £217,000 (RM1.2 juta), lapor laman berita Daily Mail kelmarin.
Direka khas untuk digunakan di atas kapal layar mewah, meja snuker tersebut membolehkan pemiliknya bermain permainan itu ketika sedang berlayar di lautan tanpa gangguan goncangan.
Ini kerana meja laras sendiri tersebut menggunakan teknologi komputer yang canggih bagi memastikan permukaan meja kekal stabil meskipun dalam keadaan laut bergelora.
“Setiap kaki meja boleh bergerak untuk diselaraskan dengan pergerakan kapal dan kekal pada posisi sama.
“Sistem yang dipasang mampu diselaraskan dalam masa lima milisaat bagi pergerakan lengkap yang berlaku secara senyap dengan penyesuaian bebas getaran,” ujar kenyataan rasmi Bugatti.
Bingkai meja tersebut diperbuat daripada titanium dan aluminium serta memenuhi standard yang digunakan oleh pemain profesional dalam pertandingan.
Ia turut menggunakan sensor giroskopik untuk meratakan permukaan meja dan diselaraskan mengikut pergerakan air laut.
Setiap meja dilengkapi dengan isyarat snuker fiber karbon ringan dan skrin sentuh berukuran 33 sentimeter bagi memantau skor pemain.
Bugatti hanya akan menghasilkan 30 unit meja snuker itu dalam edisi terhad yang dijangka habis dijual dalam beberapa hari penjualannya, beberapa minggu akan datang.
Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan dilaporkan telah menyatakan minatnya untuk membeli meja snuker itu untuk diletakkan di dalam kapal layar miliknya, Azzam, sebuah kapal layar terbesar di dunia.
Meja tersebut dihasilkan oleh syarikat pakar fiber, IXO untuk koleksi gaya hidup Bugatti dan penghantarannya dijangka bermula pada Jun ini. – AGENSI