LEEDS – Pengurus Leeds, Marcelo Bielsa mengakui kagum dengan persembahan pasukannya ketika mereka menundukkan Tottenham Hotspur 3-1 di Elland Road sambil menyifatkan ia adalah aksi terbaik pasukannya musim ini.
Stuart Dallas meletakkan Leeds di hadapan, namun Spurs menyamakan kedudukan menerusi Son Heung-min.
Bagaimanapun, Leeds bangkit memastikan kemenangan menerusi jaringan daripada Patrick Bamford dan Rodrigo.
Kemenangan itu menyaksikan Leeds berjaya menewaskan salah satu daripada enam pasukan besar Liga Perdana Inggeris selain hampir merosakkan perancangan Spurs untuk memburu tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
“Berdasarkan kesungguhan yang dipamerkan oleh pasukan lawan dan cara kami bertahan serta menyerang, saya boleh katakan bahawa ini adalah aksi terbaik pernah kami pamerkan musim ini.
“Kami sepatutnya mampu untuk menjaringkan lebih banyak gol tetapi ia berkemungkinan juga kami boleh bolos dengan banyak jaringan.
“Saya fikir dengan margin dua gol yang kami peroleh, ia agak adil. Walaupun kami mampu menjaringkan lebih banyak gol, namun saya anggap ini adalah keputusan terbaik.
“Namun, saya fikir memenangi perlawanan dengan hanya satu gol juga tidak adil berdasarkan persembahan yang dipamerkan kedua-dua pasukan,” jelasnya.
– AGENSI