PETALING JAYA – Keputusan kerajaan untuk menutup bazar Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) selepas kawasan itu dikenal pasti sebagai lokasi titik panas penularan Covid-19 menerusi sistem amaran awal Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) merupakan satu tindakan tepat bagi mengurangkan penularan wabak dalam kalangan masyarakat.
Pakar Kesihatan Pekerjaan dan Doktor Kecemasan atau Kesihatan Am, Dr. Hanafiah Bashirun berkata, ia merupakan tindakan segera oleh kerajaan walaupun keputusan berkenaan tidak disenangi beberapa pihak termasuk oleh para peniaga.
Menurut beliau, masyarakat khususnya di Lembah Klang perlu sedar bahawa Selangor dan Kuala Lumpur merupakan negeri yang merekodkan kes positif tertinggi setiap hari sehingga mencetuskan rasa bimbang dalam komuniti setempat.
“Pada saya, ia (penutupan bazar) sejajar dengan maksud Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu untuk mengurangkan orang ramai daripada berkumpul.
“Ini juga merupakan antara langkah terbaik untuk memastikan pengurangan penularan wabak berbahaya itu di kawasan yang merekodkan kes-kes yang tinggi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau menegaskan, kegagalan rakyat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) turut menjadi punca peningkatan kes setiap hari.
“Jika dilihat, masih ramai yang gagal SOP termasuk cara pemakaian pelitup muka. Ada juga yang tidak mencuci tangan dengan kerap serta tidak mengimbas kod MySejahtera.
“Kita lalai dan alpa dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan sehingga ramai pihak yang mahu mengambil kesempatan.
“Di manakah silapnya, bayangkan jika kerajaan masih benarkan operasi bazar di Jalan TAR , risiko jangkitan berkemungkinan akan menjadi lebih tinggi dan kes akan melonjak.
“Kita perlu ingat bahawa fasiliti kesihatan kita semakin hampir berada pada tahap maksima penggunaanya,” tegasnya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Dalaman Hospital Tunku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Dr. Iskandar Mirza Amran berkata, rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar ke atas negara-negara yang merekodkan kes harian tinggi sehingga fasiliti perubatan tidak lagi mampu untuk menampung pesakit.
“Lihat sahaja di negara seperti India, mayat bergelimpangan sehingga tangki oksigen terpaksa dipilih untuk diberikan kepada pesakit.
“Apa yang dibuat oleh pemimpin negara kita adalah yang terbaik bagi mengelakkan penularan yang tidak terkawal.
“Mungkin mereka (rakyat) tidak nampak sekarang, namun langkah ini amat kritikal dalam membantu mengurangkan penularan wabak di kalangan masyarakat,” katanya. – K! ONLINE