MUNICH – Bayern Munich mempertahankan kejuaraan Bundesliga buat kali kesembilan berturut-turut musim ini selepas membelasah Borussia Monchengladbach 6-0 di Allianz Arena awal pagi semalam.
Gelaran itu secara sah menjadi milik mereka susulan kekalahan pencabar terdekat, RB Leipzig 2-3 kepada Borussia Dortmund di Signal Iduna Park dalam satu lagi aksi Bundesliga yang berlangsung kelmarin.
Sebagai rekod, Bayern kini berkelebihan 10 mata ke atas Leipzig dengan saingan cuma berbaki dua perlawanan sebelum musim ini berakhir.
Kejayaan itu juga boleh dianggap sebagai hadiah perpisahan buat ketua jurulatih Bayern, Hansi Flick yang akan melepaskan jawatannya bersama gergasi Jerman tersebut hujung musim ini.
“Sejam sebelum perlawanan, kami mengetahui peluang untuk kami bergelar juara sangat cerah. Namun, persembahan sendiri yang ditampilkan atas padang lebih penting berbanding memikirkan keputusan aksi lain.
“Kami cuba sedaya upaya dalam perlawanan ini bagi memastikan kami merangkul kejuaraan dengan penuh bergaya. Kami telah berjaya membuktikannya,” kata penyerang prolifik Bayern, Robert Lewandowski.
Lebih menarik, Lewandowski berjaya meledak hatrik dalam perlawanan itu sekali gus mendahului senarai penjaring terbanyak dengan 39 gol meninggalkan penghuni tempat kedua, Erling Braut Haaland dari Borussia Dortmund (25 gol).
Tiga lagi gol Bayern dijaringkan Thomas Muller, Kingsley Coman dan Leroy Sane selain turut menyaksikan pemain pertahanan pasukan itu, Tanguy Nianzou dilayangkan kad merah pada pertengahan babak kedua. – AGENSI