fbpx

Bank Islam peruntuk RM9 juta untuk Program Bantuan Rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) te­lah memperuntukkan sebanyak RM9 juta sejak tahun 2008 untuk Program Bantuan Rumah bank tersebut dengan memberi manfaat kepada 300 asnaf.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pada tahun ini, program tersebut telah diteruskan melalui kerjasama Program Baiti Jannati kelolaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut beliau, usaha sama itu akan menawarkan pemilikan rumah kepada asnaf miskin bandar yang menetap di kawasan perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR), DBKL.

“Melalui program ini, Bank Islam turut memperelokkan fizikal rumah dan membekalkan pera­bot tambahan dan peralatan elektrik supaya tempat tinggal mereka lebih sempurna dan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis penyerahan kunci Program Baiti Jannati kelolaan DBKL di Dewan Komuniti PPR Beringin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Pengurus Besar, Hubungan Strategik Bank Islam, Mohd. Nazri Chik.
Melalui program berkenaan, AMAL Bank Islam telah me­nyerahkan 11 unit rumah kepada asnaf terpilih dengan kerjasama DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Program tersebut melibatkan peruntukan dana AMAL Bank Islam dan Zakat berjumlah lebih RM600,000 untuk membeli rumah yang sedang disewa oleh keluarga asnaf berkenaan daripada DBKL.

Mereka tergolong daripada golongan miskin bandar yang berdaftar di bawah sistem e-kasih, Portal Pembasmian Kemiskinan yang diwujudkan oleh kerajaan.

Selain pemberian milikan rumah, AMAL Bank Islam turut menyumbang baucar berbuka puasa, hamper hari raya dan wang tunai kepada penerima.

Selain itu, Mohd. Muazzam menerangkan, pada Julai tahun lalu, Bank Islam telah menjadi perintis skim pembiayaan pemilikan rumah untuk golongan asnaf yang dikenali sebagai kemudahan Pembiayaan Peribadi-i Asnaf.

Skim itu dilaksanakan melalui usaha sama Agensi Mengurus Zakat Negeri, yang mana kedua-dua pihak masing-masing membiayai separuh pembiayaan kediaman terlibat.

Menerusi skim tersebut, asnaf yang berpendapatan tetap, tetapi­ di bawah RM1,500 sebulan, boleh memiliki kediaman sendiri sama ada di atas tanah sendiri atau selepas diizinkan pemilik tanah.

“Menerusi kerjasama dengan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), projek rintis dilancarkan dengan dua buah rumah telah diserahkan kepada penerima yang layak pada bulan Februari lalu.

“Kami menyasarkan untuk menyerahkan sebanyak 30 unit rumah di bawah skim pem­biayaan ini pada tahun 2021.

“Kami akan terus berusaha untuk memperluaskannya di seluruh negara dengan Majlis Agama­ Islam Negeri yang ber­minat,” jelas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI