AS jual pelancongan vaksin
MIAMI BEACH, Florida – Amerika Syarikat (AS) menjadi lokasi tumpuan pelancong dari rantau Amerika Latin untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 selepas mereka tidak sanggup menunggu giliran terlalu lama di negara sendiri.
Bertempat di Miami Beach, Florida, berpuluh-puluh pelancong puluhan pelancong menunggu giliran untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19 di pusat vaksinasi sementara yang disediakan di situ.
Tiada bukti kewarganegaraan diperlukan untuk mendapatkan suntikan vaksin. Pelancong hanya perlu menahan cuaca panas untuk mendapatkan dos vaksin Johnson & Johnson percuma dan kad vaksinasi.
Pelancong tersebut datang dari seluruh rantau Amerika Latin seperti Ekuador, El Salvador dan Venezuela di mana penerimaan vaksin lambat dan tergendala disebabkan kekurangan bekalan.
“Di negara saya, Covid-19 semakin hampir dan tidak banyak kemungkinan kami akan mendapat akses kepada vaksin dalam masa terdekat,” kata Maria Bonilla, yang terbang dari Honduras.
Akauntan berusia 40 tahun itu berlepas bersama ibu bapanya yang masing-masing berusia 63 dan 73 tahun.
“Kami perlu membuat keputusan untuk mencari alternatif lain dengan mendapatkan vaksin di luar negara,” kata Bonilla.
Blanca Diaz, 50, yang tiba dari Mexico, membuat kesimpulan serupa. Kata Diaz, negaranya memberi keutamaan kepada warga emas dan dia tidak sanggup menunggu lebih lama.
Pesuruhjaya Bandar Raya Miami Beach, David Richardson, yang mengawasi fasiliti itu berkata, beliau mempunyai perasaan bercampur-baur mengenai kehadiran pelancong vaksin yang semakin meningkat.
“Saya rasa AS perlu menolong seramai mungkin orang untuk mendapatkan vaksin Covid-19.
“Satu-satunya kebimbangan saya adalah hanya golongan yang mampu boleh membeli tambang boleh datang ke AS dan mendapatkan vaksin di sini.
“Namun bagaimana dengan orang miskin di Amerika Selatan yang turut terdesak mendapatkan perlindungan dari Covid-19?” katanya,
Richardson mendesak pemerintah AS untuk mengirim vaksin ke luar negara agar semua orang dapat mengakses vaksin tersebut dan bukan hanya orang yang mampu datang ke sini.
Setakat kelmarin, pondok vaksinasi di Miami Beach sudah memberikan 175 orang suntikan vaksin Johnson & Johnson jenama yang digemari oleh pelancong kerana ia hanya memerlukan satu dos.
Ini adalah hujung minggu kedua pondok vaksinasi itu beroperasi dan program ini akan diteruskan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Richardson memberitahu beliau diberi mandat untuk memberikan vaksin Covid-19 kepada sesiapa yang berumur 18 tahun ke atas. – AFP