HASRAT Melaka United untuk menamatkan kemarau kemenangan dalam dua perlawanan terakhir tidak kesampaian apabila diikat seri tanpa jaringan dengan Petaling Jaya (PJ) City pada aksi Liga Super sebentar tadi.
Melaka harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal memanfaatkan deretan peluang yang terhidang di hadapan gawang gol PJ City untuk mencari gol dalam aksi di Stadium Hang Jebat itu.
PJ City pula pastinya berterima kasih kepada ketangkasan penjaga golnya iaitu Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi yang bekerja keras sepanjang 90 minit permainan menggagalkan banyak peluang daripada jentera serangan Melaka.
Percaturan berani ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan mengeluarkan penyerang utamanya, Stefan Nikolic dengan membawa masuk Alex Goncalves dalam babak kedua juga tidak membuahkan hasil.
Bagi PJ City, kedudukan seri tanpa jaringan sememangnya satu keputusan adil buat skuad bimbingan P. Maniam itu yang dilihat bergelut sepanjang perlawanan untuk merencana peluang memecahkan benteng Melaka.
Keputusan itu menyaksikan PJ City kekal menduduki tangga kelapan dengan 15 mata hasil tiga kemenangan, enam seri dan empat kekalahan daripada 13 perlawanan.
Melaka pula terpaksa akur jatuh ke tangga kedua tercorot Liga Super selepas terdahulu tewas dua perlawanan berturut-turut, 1-3 kepada Kedah Darul Aman FC dan 1-3 terhadap Sabah FC sebelum ini. – K! ONLINE