KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 24 Mei ini bagi pendengaran permohonan habeas corpus dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh menetapkan tarikh itu selepas pihak-pihak iaitu peguam Latheefa Koya yang mewakili kedua-dua pemohon berusia 41 dan 42 tahun serta Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Sinti yang mewakili responden bersetuju dengan tarikh itu.
Sebelum ini pengurusan kes kali pertama di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nur Azizah Jaafar pada 7 Mei lalu dan hari ini adalah pengurusan kali kedua kes itu di hadapan hakim Ahmad Shahrir.
Terdahulu semasa prosiding Muhammad memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan membuat semakan terhadap permohonan yang dibuat oleh kedua-dua pemohon kerana pihaknya baru menerima kertas kausa pada pagi ini.
Latheefa pula memberitahu pihaknya memohon satu tarikh pendengaran singkat memandangkan 10 individu lain yang turut ditahan (berhubung siasatan kes sama) telah dibebaskan.
Kedua-dua pemohon yang ditangkap pada 21 dan 27 April lalu memfailkan notis usul secara berasingan permohonan habeas corpus melalui Tetuan Daim & Gamany pada 5 Mei lalu dengan menamakan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dua pegawai polis, Ketua Polis Negara masing-masing sebagai responden pertama hingga ketiga.
Turut dinamakan ialah Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden keempat dan kelima.
Berdasarkan afidavit sokongan kedua-dua pemohon antaranya memohon dibebaskan serta-merta dari perintah writ habeas corpus yang dikenakan terhadapnya selain pemohon tidak ditangkap atau ditahan semula.
Pemohon juga mendakwa penahanannya di bawah Sosma 2012 adalah tidak teratur, diluar bidang kuasa kawasan polis Johor dan tidak sah selain penahanannya mala fide serta melanggar undang-undang.
Pemohon juga mendakwa bahawa siasatan terhadapnya dibawah Seksyen 130V sehingga 130ZB adalah terlampau luas dan merangkumi elemen-elemen yang berbeza justeru responden-responden tidak mempunyai asas untuk menahan mereka dibawah SOSMA 2012.
Pada 9 April lalu, seramai 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan dalam buruan Nicky Liow Soon Hee didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan terbabit dalam kumpulan Geng Nicky.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang medianya pada 27 April lalu berkata, seramai 10 pegawai Polis Diraja Malaysia dan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ditahan dalam Ops Pelican 3.0 Fasa 2 yang dijalankan Polis Kontinjen Johor kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan jenayah Geng Nicky. – K!ONLINE