KESEFAHAMAN skuad Harimau Malaya dijangka ampuh apabila daripada 13 daripada 25 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat kali ini merupakan tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Lebih menarik, ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe mengekalkan 19 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat terdahulu di Johor Bahru pada Mac lepas
Begitupun, Cheng Hoe terpaksa melupakan khidmat pertahanan kental, Shahrul Saad dan penyerang sensasi Selangor FC, Shahrel Fikri Md Fauzi yang mengalami kecederaan serius baru-baru ini.
Bagi melengkapkan senarai 25 pemain, seramai tiga muka baharu telah disenaraikan iaitu penjaga gol, Samuel Somerville (Penang FC), Liridon Krasniqi (Newcastle Jets) dan Arif Aiman Mohd Hanapi (Johor Darul Ta’zim) serta tiga lagi pemain yang kembali dipanggil iaitu Safawi Rasid (Johor Darul Ta’zim), Dominic Tan (Police Tero FC) dan Junior Eldstal (Chonburi FC).
“Skuad Harimau Malaya akan mula turun menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil selama empat hari bermula 16 hingga 19 Mei ini sebelum terbang ke Dubai pada 20 Mei bagi perlawanan persahabatan pertama (bukan Tier 1) bertemu Kuwait di sana pada 23 Mei.
“Kemudian pada 25 Mei, skuad Harimau Malaya akan terbang ke Manama bagi perlawanan persahabatan kedua (Tier 1) bertemu Bahrain di sana pada 28 Mei dan kembali ke Dubai pada 31 Mei bagi persediaan terakhir menghadapi baki tiga perlawanan kelayakan,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.
=Bagi empat pemain yang beraksi di liga luar iaitu Liridon, Junior, Dominic serta Luqman Hakim Shamsudin, mereka tidak perlu melapor diri di Kuala Lumpur pada 16 Mei, sebaliknya terus dari negara masing-masing iaitu Australia, Thailand dan Belgium untuk menyertai pasukan di Dubai pada 20 Mei. – K! ONLINE
SENARAI PENUH
PENJAGA GOL
MOHD FARIZAL MARLIAS (JDT)
SAMUEL JACOB SOMERVILLE (PENANG FC)
KHAIRULAZHAN KHALID (SELANGOR FC)
PERTAHANAN
MATTHEW DAVIES (JDT)
AIDIL ZAFUAN ABD RADZAK (JDT)
ADAM NOR AZLIN (JDT)
LA’VERE CORBIN-ONG (JDT)
SYAHMI SAFARI (SELANGOR FC)
IRFAN ZAKARIA (KL CITY)
JUNIOR ELDSTAL (Chonburi)
DOMINIC TAN (Police Tero)
RIZAL GHAZALI (KDA FC)
TENGAH
SYAMER KUTTY ABBA (JDT)
NAZMI FAIZ MANSOR (JDT)
AKHYAR ABDUL RASHID (JDT)
MOHAMADOU SUMAREH (JDT)
ARIF AIMAN MOHD HANAPI (JDT)
SAFAWI RASID (JDT)
BRENDAN GAN (SELANGOR FC)
NOR AZAM ABDUL AZIH (SRI PAHANG)
LIRIDON KRASNIQI (NEWCASTLE JETS)
PENYERANG
SYAFIQ AHMAD (JDT)
GUILHERME DE PAULA (JDT)
LUQMAN HAKIM SHAMSUDIN (K.V. KORTRIJK)
NORSHAHRUL IDLAN TALAHA (SARAWAK UNITED)