PETALING JAYA – Hasrat pasukan tercorot Liga Super, UiTM FC meraih kemenangan pertama musim ini tidak kesampaian selepas hanya mencatat keputusan seri 1-1 dengan Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium UiTM, Shah Alam sebentar tadi.
Pada aksi tersebut, skuad The Lions Troops yang dikendalikan oleh Frank Bernhardt membariskan kesebelasan terbaik termasuk pemain import baharu, Kwang Yong-hyun, Ousmane Fane dan Joao Pedro.
Keputusan tersebut nyata memberi kekuatan tambahan buat pasukan UiTM FC apabila berjaya mengekang setiap asakan yang cuba dilakukan oleh pasukan pelawat.
Malah, pasukan tuan rumah berjaya menjaring gol pembukaan hasil ledakan Yong-hyun pada minit ke-84.
Bagaimanapun, hasrat UiTM FC untuk mengutip tiga mata penuh tidak kesampaian apabila KL City yang dibimbing oleh Bojan Hodak menyamakan kedudukan menerusi gol kontroversi pemain veteran, Shukor Adan pada masa kecederaan.
Keputusan tersebut menyaksikan KL City kekal menduduki tangga ke-6 liga dengan 17 mata manakala UiTM FC hanya mampu meraih 2 mata selepas mengharungi 13 perlawanan. – K! ONLINE