Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
DUA bintang sensasi pasukan Perak FC yang juga tonggak utama skuad The Bos Gaurus iaitu Shahrul Saad dan Guilherme De Paula telah disahkan menjadi milik skuad Johor Darul Ta’zim (JDT).
JDT dalam laman Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers mengesahkan perpindahan dua bintang berkenaan menerusi satu kenyataan ringkas semalam.
“Selamat datang ke rumah sang juara,” menurut kenyataan ringkas tersebut yang turut disertai dengan tanda pagar antaranya #ShahrulSaad #GuilhermeDePaula #LuaskanKuasamuJohor #JDTFamily.
Pada masa sama, JDT turut memuat naik gambar dua pemain tersebut yang menandatangani kontrak selain menerima jersi masing-masing sambil disaksikan oleh ketua jurulatih, Benjamin Mora; Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards dan Pengarah Sukan JDT, Martin Prest.
Shahrul dan pemain naturalisasi Harimau Malaya, De Paula sebelum ini dilaporkan telah membuat permohonan dilepaskan oleh Perak FC dipercayai berpunca daripada masalah pembayaran gaji pemain oleh kelab berkenaan.
Shahrul yang merupakan pemain pertahanan berusia 27 tahun dan De Paula, 34, yang bermain di posisi penyerang itu dipercayai akan memperkukuh kedudukan JDT kerana kelab itu dibarisi hampir kesemua pemain Harimau Malaya.
Sementara itu, Shahrul dalam laman sosial miliknya memberitahu, dia terpaksa membuat keputusan meninggalkan Perak FC selepas memikirkan yang terbaik buat perjalanan kariernya.
“Ia bukan satu keputusan yang mudah, tetapi setelah berfikir dan berbincang dengan seluruh keluarga, saya terpaksa membuat keputusan yang kami yakin, adalah yang terbaik buat karier dan masa depan keluarga saya.
“Saya yakin saya telah memberi yang terbaik dan berkorban buat negeri yang kita cintai ini, namun saya yakin sudah sampai masanya untuk saya memikirkan masa depan keluasan saya,” ujarnya.
Alistair pula memberitahu, pihaknya akan meminjamkan beberapa pemain semasa jendela perpindahan pertengahan musim ini dan jendela perpindahan 2022 akan datang.
“Antara kelab yang akan terlibat adalah Melaka United, Sri Pahang, Sabah dan UiTM,” katanya.