SAINGAN Liga Premier semakin rancak selepas Sarawak United merampas kedudukan teratas daripada Negeri Sembilan FC selepas menang 3-2 ke atas Kelantan United FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.
Ketua jurulatih Sarawak United, E. Elavarasan mengakui anak-anak buahnya mempamerkan aksi cukup luar biasa untuk bangkit daripada ketinggalan 1-2 sebelum mengutip tiga mata penting.
“Ini bukan aksi yang mudah apabila pasukan lawan memberikan tentangan sengit buat kami sehingga berjaya mendahului 2-1 pada perlawanan ini.
“Namun, barisan pemain saya kekal fokus khususnya pada babak kedua untuk memastikan mereka mampu bangkit menjaringkan dua gol sekali gus membantu pasukan mengutip tiga mata sekali gus merampas takhta liga,” katanya selepas tamat perlawanan.
Pada aksi tersebut, gol-gol pasukan The Golden Hornbill dijaringkan oleh Christie Jayaseelan, Norshahrul Idlan Talaha dan Abdul Rahim Abdul Razak, manakala Kelantan United meraih gol hasil jaringan sendiri Stuart Wark dan Alfusainey Gassama.
Sementara itu, pengendali The Green Deers, Akira Higashiyama mahu pasukannya tidak terlalu kecewa dengan keputusan ini selepas memberikan yang terbaik sepanjang 90 minit perlawanan.
“Saya berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh barisan pemain tetapi inilah lumrah bola sepak, kami terima dengan kekalahan ini dan perlu bangkit pada aksi seterusnya nanti,” katanya.
Keputusan tersebut menyaksikan Sarawak United meraih 23 mata selepas mengharungi 10 perlawanan dengan perbezaan satu mata berbanding pencabar terdekat, Negeri Sembilan FC.